MIRI: Penganjuran Miri Amateur Muaythai Challenge 2026 (MAMC26): The Return menjadi platform penting dalam mencungkil dan membangunkan bakat baharu Muaythai, khususnya dalam kalangan golongan muda di Sarawak.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kejohanan tersebut bukan sekadar medan pertandingan, malah berperanan membentuk disiplin, keyakinan diri dan nilai kesukanan dalam kalangan atlet.
“Muaythai mengajar bahawa kekuatan tanpa disiplin adalah tidak lengkap, selain membentuk sikap menghormati jurulatih, lawan, pegawai, peraturan dan diri sendiri,” katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan MAMC26, di sini pada Jumaat.
Menurutnya, sambutan terhadap MAMC sejak penganjuran pertama menerusi MAMC25 yang menarik lebih 150 atlet menunjukkan potensi besar kejohanan itu sebagai platform pembangunan bakat Muaythai tempatan dan serantau.
Beliau berkata, MAMC26 turut menampilkan gabungan pertandingan amatur dengan beberapa perlawanan pertunjukan separa profesional dan profesional, sekali gus memberi pendedahan serta laluan lebih luas kepada atlet untuk meningkatkan tahap keupayaan masing-masing.
Dalam pada itu, penyertaan atlet, jurulatih, keluarga dan penyokong dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia, Brunei Darussalam serta kawasan lain turut memberi nilai tambah kepada perkembangan sukan dan aktiviti ekonomi setempat.
Justeru, beliau menggalakkan kerjasama berterusan antara kerajaan, badan sukan, sektor perniagaan dan komuniti bagi memperluas peluang kepada bakat muda untuk menceburi bidang sukan secara lebih tersusun dan profesional.
Datuk Sebastian turut menegaskan aspek keselamatan dan kebajikan atlet perlu sentiasa menjadi keutamaan menerusi padanan perlawanan yang sesuai, pegawai bertauliah, pemantauan perubatan serta pengurusan kejohanan secara profesional.
Beliau berharap MAMC26 dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai golongan muda untuk menceburi sukan Muaythai, seterusnya melahirkan lebih banyak bakat berpotensi yang mampu diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Turut hadir, Presiden Persatuan Muaythai Sarawak, Jumaat Ibrahim dan Pengerusi Acara MAMC26, Gavin Ghia Mattu. -EDISI UKAS