Aktiviti Sosial Bantu Warga Emas Kekal Aktif dan Sejahtera
MIRI: Penglibatan warga emas dalam aktiviti sosial dan kemasyarakatan perlu terus diperkasa bagi memastikan golongan itu kekal aktif, sihat serta mempunyai kehidupan yang bermakna selepas bersara.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, kesejahteraan warga emas tidak harus dilihat dari aspek kesihatan fizikal semata-mata, sebaliknya turut melibatkan kesihatan emosi, hubungan persahabatan dan interaksi sosial.
Beliau berkata, penyertaan dalam aktiviti seperti nyanyian, pertemuan bersama rakan, sukan, melancong, persatuan dan kerja sukarela dapat membantu warga emas terus berinteraksi serta mengelakkan mereka daripada terasing daripada masyarakat.
“Selagi keadaan kesihatan mengizinkan, saya menggalakkan warga emas supaya lebih banyak keluar, menyertai aktiviti dan bergaul dengan rakan-rakan.
“Jangan hanya menjaga kesihatan fizikal, tetapi kita juga perlu menjaga perasaan dan emosi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Santai Nyanyian dan Jamuan Tengah Hari Warga Emas Persatuan Kaying Miri, di sini pada Ahad.
Menurut Dato Sri Lee, usaha membudayakan gaya hidup aktif dalam kalangan warga emas perlu disokong dengan penyediaan kemudahan rekreasi yang bersesuaian dan mudah diakses masyarakat.
Katanya, sebanyak 51 taman rekreasi telah dibangunkan di kawasan Senadin sejak 2020, sekali gus menyediakan lebih banyak ruang untuk masyarakat menjalankan aktiviti riadah serta meluangkan masa bersama keluarga.
Beliau berkata, kemudahan tersebut bukan sahaja memberi manfaat kepada kanak-kanak dan golongan dewasa, malah boleh dimanfaatkan warga emas untuk beriadah, bersosial dan mengeratkan hubungan komuniti.
Dalam pada itu, beliau berkata perubahan struktur penduduk ke arah masyarakat yang semakin menua memerlukan perhatian bersama bagi memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan yang sihat, aktif dan bermaruah.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak turut menyediakan beberapa inisiatif bagi menyokong kesejahteraan warga emas, termasuk Kenyalang Gold Card (KGC) dan manfaat kesihatan bagi golongan yang layak.
Bagaimanapun, Dato Sri Lee menegaskan bahawa sokongan kerajaan perlu dilengkapi peranan keluarga, komuniti dan persatuan dalam menyediakan ruang kepada warga emas untuk terus terlibat dalam kehidupan bermasyarakat. -EDISI UKAS