Kebolehpasaran Graduan PolyCC Cecah Lebih 98 Peratus, Bukti TVET Tepati Keperluan Industri
KOTA SAMARAHAN: Kebolehpasaran graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) mencatatkan lebih 98 peratus pada 2025, membuktikan lulusan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berupaya memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.
Pengarah Kanan (Akademik) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohd Daud Isa berkata, kadar kebolehpasaran dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian masing-masing mencapai 98.5 peratus bagi politeknik dan 98.8 peratus bagi kolej komuniti.
“Kadar kebolehpasaran graduan PolyCC bagi tahun 2025 berada pada tahap yang sangat cemerlang iaitu 98.5 peratus bagi politeknik dan 98.8 peratus bagi kolej komuniti dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen PolyCC Zon Sarawak Tahun 2026, di sini pada Ahad.
Menurutnya, pencapaian tersebut merupakan sebahagian daripada kejayaan 29,609 graduan PolyCC di seluruh negara yang diraikan menerusi enam majlis konvokesyen mengikut zon pada tahun ini.
Katanya, PolyCC Sarawak kini disokong ekosistem pendidikan yang merangkumi tiga politeknik dan enam kolej komuniti dalam menyediakan laluan pendidikan berasaskan kemahiran kepada masyarakat.
Dalam pada itu, program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) PolyCC turut menunjukkan sambutan memberangsangkan apabila politeknik merekodkan 413,639 penyertaan, manakala kolej komuniti mencatatkan lebih 4.2 juta penyertaan sehingga Jun 2026.
Sementara itu, Pengarah Politeknik Kuching Sarawak merangkap Pengerusi Majlis Konvokesyen PolyCC Zon Sarawak 2026, Mohamad Nazri Ismail berkata, graduan TVET PolyCC dilengkapi kemahiran berimpak tinggi bagi menghadapi perkembangan automasi, pendigitalan dan teknologi hijau.
“Graduan diingatkan agar memanfaatkan ilmu yang ditimba serta meneruskan budaya pembelajaran sepanjang hayat sebagai penggerak inovasi di persada negara,” ujarnya. -EDISI UKAS