Rancangan Menyambut Krismas Bersama Jadi Kenangan Terakhir Keluarga Debra
PADAWAN: Rancangan untuk berkumpul bersama dan menyambut Hari Krismas di rumah baharu Kampung Semadang menjadi antara kenangan terakhir keluarga bersama mendiang Jururawat Debra Moset, 40, sebelum terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram.
Ibu mendiang, Renog Rasas, 71, berkata Debra sempat pulang ke kampung pada minggu sebelum tragedi dan meluangkan masa bersama keluarga sebelum kembali bertugas di Miri pada 3 September lalu.
“Minggu lepas semasa dia pulang, dia sangat gembira kerana dapat masak-memasak, makan bersama-sama, jaga anak-anak dia.
“Selepas itu dia beritahu, ‘Mak, saya perlu balik ke Miri dahulu kerana saya akan bekerja semula.
“Saya beritahu dia, tidak apa, pergi sahaja sebab kamu perlu bekerja,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Kampung Semadang, pada Ahad.
Menurut Renog, Debra turut meminta beliau membantu mengemas rumah baharu keluarga di kampung kerana mereka merancang untuk berkumpul dan menyambut Krismas bersama.
“Dia pesan saya tolong kemas rumah baharu di sini sebab masa Krismas nanti kami akan sambut bersama. Dia juga minta saya tinggal bersama cucu-cucu,” katanya.
Renog berkata, beliau telah lama membantu menjaga anak-anak Debra sejak mereka kecil, terutama ketika mendiang perlu bertugas di luar kawasan.
Menurutnya, Debra telah lama berkhidmat di Miri selepas menjalani latihan ketika masih bujang sebelum meneruskan tugas dalam bidang kesihatan, termasuk bersama pasukan FDS yang memberikan perkhidmatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman.
Renog berkata, keluarga menerima berita mengenai nahas tersebut sekitar jam 4 petang pada 8 September selepas suami Debra menghubungi mereka.
Katanya, beliau masih sukar menerima pemergian anaknya, apatah lagi apabila mengetahui keadaan mangsa dalam nahas berkenaan.
“Kalau saya hendak bercakap, mesti menangis. Saya terkenangkan anak-anak dia yang masih belajar.
“Saya tidak berani melihat dia. Doktor juga tidak menggalakkan saya melihat keadaan mereka,” katanya dalam nada sebak.
Bagi Renog, rancangan menyambut Krismas bersama anak dan cucu yang pada awalnya dinanti-nantikan kini menjadi kenangan yang tidak sempat direalisasikan.
Rumah baharu yang mahu dikemas untuk berkumpul bersama keluarga itu akhirnya menjadi sebahagian daripada kenangan terakhir seorang ibu terhadap anaknya yang pergi tanpa sempat pulang lagi. -EDISI UKAS