346 Penerima Lesen B2 Batu Kawa Diingat Utamakan Keselamatan, Elak Aktiviti ‘Mat Rempit’
KUCHING: Seramai 346 peserta Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 di konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawa yang berjaya memperoleh lesen masing-masing diingat supaya menggunakan kemudahan itu secara bertanggungjawab dan tidak terjebak dalam aktiviti ‘mat rempit’ serta perlumbaan haram.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, pemilikan lesen memandu bukan bermakna seseorang bebas menunggang atau memandu sesuka hati, sebaliknya merupakan satu bentuk kepercayaan yang disertai tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan.
“Penerima program ini jangan sesekali terlibat dalam aktiviti yang melanggar undang-undang atau tidak membawa sebarang manfaat.
“Gunakan lesen ini untuk perkara yang memberi manfaat seperti membawa ibu bapa mendapatkan rawatan, pergi bekerja, mencari rezeki yang halal dan membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan lesen berkenaan, di sini pada Ahad.
Datuk Amar Dr Sim berkata, lesen memandu seharusnya menjadi kemudahan yang membantu penerima menjalankan tanggungjawab harian, mencari rezeki dan meningkatkan taraf kehidupan, bukannya menjadi punca kepada kemalangan atau penyesalan sepanjang hayat.
Menurutnya, Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 merupakan antara inisiatif kerajaan yang memberi manfaat khususnya kepada golongan B40 dan berpendapatan rendah untuk mendapatkan lesen motosikal secara sah serta selamat.
Katanya, kemudahan berkenaan bukan sahaja membantu golongan sasaran mendapatkan lesen, malah berpotensi membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan sosioekonomi serta pendapatan isi rumah, khususnya dalam sektor logistik dan pengangkutan.
Beliau turut menyifatkan kejayaan 346 peserta memperoleh lesen selepas melalui proses saringan, latihan dan peperiksaan yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai satu pencapaian yang wajar dihargai.
Sehubungan itu, beliau menggesa JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkukuh penguatkuasaan serta kerjasama dalam menangani pelanggaran undang-undang jalan raya, khususnya aktiviti perlumbaan haram.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa menambah, usaha kerajaan menerusi kempen keselamatan jalan raya, pendidikan trafik dan program bantuan lesen tidak akan mencapai matlamat sepenuhnya sekiranya tidak disusuli perubahan sikap dalam kalangan pengguna jalan raya. -EDISI UKAS