BINTULU: Kecerdasan buatan (AI) kini semakin menjadi satu kemahiran asas dalam dunia pekerjaan, justeru masyarakat perlu meningkatkan keupayaan menggunakan teknologi itu bagi mempertingkat kecekapan dan produktiviti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata perkembangan pesat teknologi menyebabkan kemahiran menggunakan AI tidak lagi terhad kepada golongan teknologi maklumat, sebaliknya relevan kepada hampir semua bidang pekerjaan.
“Daripada bimbang AI akan menggantikan pekerjaan kita, kita seharusnya memikirkan sama ada kita sudah mengikuti perkembangan apabila orang di sekeliling kita mula menggunakan AI.
“AI boleh membantu meningkatkan kecekapan, tetapi ia tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutupan Kursus ‘AI at Work – Using AI The Right Way For Better Results’ di Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bintulu (BCCCI), di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, beliau berkata penggunaan AI dalam bidang pentadbiran, perniagaan, pemasaran dan pengurusan mampu membantu pengguna mengurus maklumat, menyediakan dokumen, menganalisis pasaran serta menghasilkan idea dengan lebih pantas.
Menurutnya, penggunaan AI bagaimanapun perlu disertai pengetahuan dan keupayaan membuat pertimbangan kerana maklumat yang dijana teknologi berkenaan tidak semestinya tepat sepenuhnya.
“AI semakin mudah digunakan, tetapi keupayaan manusia untuk berfikir menjadi semakin penting, termasuk mengetahui maklumat yang boleh digunakan, perkara yang perlu disemak dan keputusan yang perlu dipertanggungjawabkan sendiri,” ujarnya.
Johnny berkata, pembangunan modal insan juga sama penting dengan pembangunan infrastruktur dalam menyediakan masyarakat menghadapi keperluan masa depan.
Beliau turut menggalakkan peserta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dengan mengenal pasti tugasan harian yang berulang dan mengambil masa, sebelum menggunakan AI bagi meningkatkan kecekapan kerja. -EDISI UKAS