Potensi Penduduk Sarawak Yang Terdiri Daripada 26.3 Peratus Belia Perlu Digembleng
KUCHING: Golongan belia yang membentuk kira-kira 26.3 peratus daripada penduduk Sarawak perlu dilihat sebagai sumber tenaga, idea dan potensi penting dalam pembangunan negeri, bukan sekadar pemimpin masa depan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Professor Dr Sim Kui Hian, berkata jumlah tersebut bermakna kira-kira seorang daripada setiap empat rakyat Sarawak merupakan golongan belia berusia antara 15 hingga 29 tahun.
“Golongan muda berusia antara 15 hingga 29 tahun membentuk kira-kira 26.3 peratus daripada penduduk Sarawak. Ini bermakna kira-kira seorang daripada setiap empat rakyat Sarawak merupakan golongan muda. Itu bukan jumlah yang kecil, sebaliknya merupakan sumber tenaga, idea dan potensi yang besar.
“Jadi, saya tidak mahu melihat anda sebagai generasi yang hanya menunggu giliran. Sumbangan anda boleh bermula sekarang. Idea, kreativiti, tenaga, suara dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab anda juga penting sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng, pada Majlis Installation AZAM Young Souls Toastmasters Club di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Menurutnya, Sarawak kini berada dalam fasa penting transformasi ke arah ekonomi maju dan berpendapatan tinggi, khususnya dalam bidang ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau dan boleh diperbaharui, inovasi serta teknologi.
Sehubungan itu, beliau menggesa belia memanfaatkan peluang yang tersedia dengan mengembangkan idea perniagaan, menggunakan kemahiran teknologi untuk menyelesaikan masalah serta mengemukakan cadangan yang mampu memberi manfaat kepada komuniti.
Beliau turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan fizikal dan mental bagi membentuk generasi belia yang produktif serta berdaya tahan, terutama dalam menghadapi tekanan akademik, tuntutan kerjaya, persaingan, media sosial dan perubahan teknologi yang pantas.
Dalam menghadapi perkembangan kecerdasan buatan (AI), Datuk Amar Professor Dr Sim menggalakkan belia mempelajari, menggunakan dan menguasai teknologi berkenaan bagi meningkatkan keupayaan diri, namun pada masa sama terus mengekalkan keupayaan berfikir secara kritis.
Katanya, platform seperti AZAM Young Souls Toastmasters Club turut memainkan peranan penting dalam membina kemahiran komunikasi, keyakinan diri dan kepimpinan, di samping mengukuhkan keupayaan bekerja dalam pasukan serta memikul tanggungjawab.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi AZAM Sarawak bagi Penggal 2026/2028 merangkap Pengarah Serantau Lepas Toastmasters International, Distinguished Toastmasters Mohamad Ariff Azahari, Pengerusi Jawatankuasa Belia AZAM Sarawak bagi Penggal 2026/2028, Donald Henry Nohed, serta Ketua Pegawai Eksekutif AZAM Sarawak, Ali Suhaili-EDISI UKAS