ARAB SAUDI: Sarawak menyatakan hasrat untuk menjadi tuan rumah ‘Islamic Solidarity Games’ (ISG) edisi ketujuh pada 2029 menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ‘Islamic Solidarity Sports Association’ (ISSA), Kerajaan Sarawak dan Majlis Olimpik Malaysia (OCM).
MoU berkenaan ditandatangani sempena Perhimpunan Agung ISSA Ke-15 di Taif, Arab Saudi, sekali gus membuka ruang kerjasama dan meletakkan asas persediaan sekiranya Sarawak dipilih sebagai tuan rumah temasya berkenaan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kerajaan Sarawak komited untuk bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia dan ISSA sekiranya diberikan peluang menganjurkan temasya tersebut.
“Sekiranya kita diberikan peluang untuk menjadi tuan rumah temasya ini, Kerajaan Sarawak akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Malaysia dan ISSA untuk memastikan temasya yang dianjurkan selaras dengan semangat dan aspirasinya.
“Kita komited untuk melakukan yang terbaik sebagai tuan rumah yang mesra dan cemerlang, selain menyediakan persekitaran yang membolehkan kecemerlangan sukan, persahabatan dan perpaduan antara negara-negara peserta berkembang,” katanya menerusi kenyataan media, pada Ahad.
Menurut kenyataan yang sama, penganjuran temasya berkenaan akan menyediakan platform antarabangsa kepada Sarawak untuk mempamerkan keupayaannya dalam menganjurkan acara sukan berskala besar, selain memperkenalkan kepelbagaian budaya, hospitaliti dan semangat perpaduan negeri kepada atlet, pegawai serta pengunjung dari negara-negara anggota ISSA.
Hasrat tersebut turut selari dengan pengalaman Sarawak dalam menganjurkan acara sukan utama, termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 serta peranannya sebagai salah satu negeri yang akan menjadi tuan rumah bersama Sukan SEA Ke-33 Malaysia 2027.
ISG dianjurkan setiap empat tahun dengan menghimpunkan atlet dari negara anggota ISSA bagi meraikan kecemerlangan sukan, persahabatan dan perpaduan.
Majlis pemeteraian MoU itu turut disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Presiden ISSA, Putera Abdulaziz Turki Al Faisal Al Saud, Presiden OCM, Tan Sri Dato Sri (Dr) Mohamad Norza Zakaria, Setiausaha Agung ISSA, Nasser Ayman Majali dan Setiausaha Agung OCM, Datuk Mohd Nasir Ali. -EDISI UKAS