MIRI: Penganjuran ‘Miri Amateur Muaythai Challenge 2026 (MAMC26): The Return’ berpotensi memperkukuh kedudukan Miri sebagai destinasi pelancongan sukan dengan menarik penyertaan atlet, jurulatih dan pengunjung dari luar kawasan.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, berkata penganjuran acara sukan seperti MAMC26 bukan sahaja menyokong perkembangan sukan Muaythai, malah membuka peluang kepada sektor pelancongan dan ekonomi setempat untuk terus berkembang.
Menurutnya, penyertaan dari Sarawak, Sabah, Semenanjung Malaysia dan Brunei Darussalam membuktikan acara sukan berkenaan mempunyai potensi untuk berkembang sebagai platform penganjuran acara bertaraf serantau di Miri.
“Penganjuran acara seperti ini bukan sekadar medan pertandingan, tetapi turut berpotensi menyokong sektor pelancongan dengan menarik atlet, jurulatih dan pengunjung dari luar Miri.
“Ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada ekonomi setempat serta memperkenalkan Miri sebagai destinasi pelancongan sukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian ‘MAMC26: The Return’, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata perkembangan sukan Muaythai yang semakin mendapat sambutan, khususnya dalam kalangan generasi muda, wajar terus digalakkan melalui penganjuran kejohanan yang konsisten dan berkualiti.
Katanya, kejohanan seperti MAMC26 turut menyediakan platform kepada atlet muda untuk menguji kemampuan, menimba pengalaman serta membina disiplin dan keyakinan diri.
Sehubungan itu, beliau berkata kementerian akan terus menggalakkan dan menyokong penganjuran acara sukan yang mampu menyumbang kepada pembangunan industri pelancongan dan sukan di Sarawak, dengan aspek keselamatan atlet kekal sebagai keutamaan. -EDISI UKAS