32 Beregu Rebut Kejuaraan KASUS Pickleball Tellian 2026
MUKAH: Sebanyak 32 beregu bakal berentap merebut kejuaraan Pertandingan Pickleball Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) Cawangan Tellian 2026 di Gelanggang Pickleball Terbuka Petanak Mukah pada 19 September ini.
Pertandingan anjuran SABERKAS Cawangan Tellian dengan kelolaan Unit SABERKAS Petanak (YUSAPET) itu bermula jam 8 pagi dan terbuka kepada ahli SABERKAS dari Cawangan Tellian, Balingian dan Dalat.
Pengerusi Pengelola, Roslan Hamdan berkata, penganjuran pertandingan berkenaan bertujuan menggalakkan penglibatan ahli SABERKAS dan masyarakat setempat dalam aktiviti sukan yang sihat, aktif serta menyeronokkan.
Menurutnya, pickleball dipilih kerana mudah dipelajari, sesuai untuk pelbagai peringkat umur serta mampu menggalakkan interaksi, kerjasama dan semangat kesukanan dalam kalangan peserta.
“Pertandingan menggunakan format liga kumpulan pada pusingan awal dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke pusingan seterusnya, manakala kedudukan ditentukan berdasarkan pungutan mata,” katanya.
Johan bakal membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta piala, manakala naib johan menerima RM700 dan pingat.
Dua pemenang tempat ketiga bersama masing-masing akan menerima wang tunai RM300 dan pingat.
Pengerusi SABERKAS Cawangan Tellian merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dijangka menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM100 bagi setiap beregu, manakala pendaftaran dibuka sehingga 18 September, jam 12 tengah hari atau sehingga kuota 32 beregu dipenuhi.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Ketua Urusetia, Albert Ajan di talian 013-5652487 atau Roslan Hamdan di talian 011-31714019. -EDISI UKAS