Program Jiwa Hari Malaysia Dekati & Semai Nilai Patriotisme Dalam Masyarakat Lawas
LAWAS: Program Jiwa Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Lawas 2026 menjadi wadah mendekati masyarakat akar umbi sambil menyemarakkan semangat patriotisme, perpaduan dan kecintaan terhadap negara.
Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok berkata, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi ruang untuk masyarakat mengenang sejarah, menghargai keamanan serta bersama-sama memelihara kesejahteraan yang dinikmati.
“Keamanan bukan sesuatu yang hadir dengan sendirinya dan kesejahteraan bukan sesuatu yang boleh kita anggap sebagai hak tanpa menyedari tanggungjawab untuk mempertahankan serta memeliharanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jiwa Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat Daerah Lawas 2026 di Stadium Tertutup Lawas, pada Sabtu.
Menurutnya, semangat patriotisme juga perlu diterjemahkan menerusi usaha memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
Katanya, pembangunan perlu merangkumi peningkatan kualiti hidup, pendidikan, kemahiran, peluang ekonomi, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, selain memastikan tiada golongan tercicir daripada arus pembangunan.
Sementara itu, Pegawai Penerangan Daerah Lawas, Jessecca Gilbert Bunsu berkata, program tersebut turut menjadi platform komunikasi dua hala antara kerajaan dengan masyarakat bagi memastikan dasar, inisiatif dan perkhidmatan kerajaan dapat disampaikan secara jelas serta mudah difahami.
Beliau turut menyeru masyarakat supaya menggunakan media sosial secara beretika dengan menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi, selain mengelakkan penyebaran berita palsu, fitnah dan kandungan yang boleh mencetuskan perpecahan.
Program tersebut turut diserikan dengan pelbagai aktiviti seperti senamrobik, pertandingan pakaian beragam, lastik getah, pertandingan mewarna serta taklimat dan demonstrasi pemadaman kebakaran. -EDISI UKAS