RM3.8 Bilion Perkasa Kesalinghubungan, Pembangunan Telang Usan
MIRI: Kerajaan Sarawak terus memperkasa pembangunan Telang Usan menerusi pelaburan infrastruktur bernilai RM3.8 bilion bagi meningkatkan kesalinghubungan, akses kepada kemudahan asas serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada masyarakat pedalaman.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, antara projek utama yang sedang dilaksanakan ialah projek jalan Miri-Marudi, Marudi-Mulu dan Long Panai-Long Lama (MMMLL-3M2L) sepanjang 142 kilometer.
Menurutnya, kerajaan turut memberi perhatian kepada usaha menaik taraf rangkaian jalan sedia ada, termasuk 88 bekas jalan balak sepanjang kira-kira 1,331 kilometer yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dinaik taraf.
“Selain 88 bekas jalan balak sepanjang kira-kira 1,331 kilometer yang telah dikenal pasti oleh Jabatan Kerja Raya untuk dinaik taraf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Delegasi Telang Usan sempena Konvensyen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Telang Usan, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas berkata, pembangunan infrastruktur turut merangkumi penambahbaikan jambatan bagi memastikan pergerakan penduduk dan akses antara kawasan pedalaman dapat dipertingkatkan.
Katanya, sebanyak 32 jambatan kecil di Telang Usan diberi perhatian dengan kos keseluruhan RM56.86 juta, melibatkan lima jambatan yang telah siap, lima pembinaan baharu, 16 sedang dibaiki, lima dalam proses tender dan satu masih dalam proses reka bentuk.
“Kita bukan hanya buat infrastruktur. Yang kita nak tingkatkan adalah bagaimana hendak meningkatkan pendapatan rakyat.
“Pembangunan itu akan menambah baik akses kepada pendidikan dan kesihatan, selain membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata, usaha berkenaan selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) dalam memastikan pembangunan kawasan pedalaman bergerak seiring dengan aspirasi mencapai kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.
Hadir sama, Menteri Kerja Raya merangkap Setiausaha Agung PBB Sarawak, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Ketua Cawangan PBB Telang Usan, Dato Dennis Ngau. -EDISI UKAS