Program Anti-Rabies Tingkat Kesedaran Pemilik Anjing
MIRI: Program Vaksinasi Anti-Rabies, Mikrocip dan Perlesenan Anjing membantu meningkatkan kesedaran pemilik anjing terhadap kepentingan memastikan haiwan peliharaan mereka divaksin, dipasang mikrocip dan dilesenkan bagi mencegah penularan rabies.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata kerjasama pemilik anjing amat penting dalam membantu mencegah penularan rabies serta memastikan keselamatan masyarakat.
Beliau berkata, pemilik anjing perlu mengambil berat terhadap kesihatan dan kebajikan haiwan peliharaan masing-masing dengan memastikan vaksinasi anti-rabies, pemasangan mikrocip serta pelesenan dilaksanakan mengikut keperluan.
“Pemilik anjing juga digalakkan untuk tampil menyertai program seumpama ini apabila diadakan di kawasan masing-masing supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan lebih awal dan berkesan,” katanya dalam Program Vaksinasi Anti-Rabies Perkukuh Kesedaran Pemilik Anjing di sini pada Ahad.
Secara keseluruhannya, program selama dua hari itu merekodkan 114 ekor anjing menerima vaksin anti-rabies, 57 ekor dipasang mikrocip dan 124 ekor dilesenkan.
Usaha berterusan itu bukan sahaja membantu melindungi haiwan peliharaan, malah penting dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan sihat untuk masyarakat. -EDISI UKAS