Kerjasama Rentas Persatuan Perkukuh Jaringan Komuniti Bintulu
BINTULU: Kerjasama rentas persatuan dan kumpulan komuniti perlu terus diperluas bagi memperkukuh jaringan sosial, memupuk persefahaman serta membuka lebih banyak ruang interaksi dalam kalangan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, perbezaan bidang dan aktiviti bukan penghalang kepada persatuan untuk menjalinkan kerjasama demi kepentingan komuniti.
Menurutnya, program bersama membolehkan ahli daripada pelbagai kumpulan saling mengenali, bertukar pengalaman dan membina hubungan yang lebih erat.
“Sesebuah pertubuhan yang mempunyai daya hidup bukan sahaja perlu menguruskan aktiviti dengan baik, tetapi juga perlu lebih terbuka untuk berinteraksi dengan pelbagai pertubuhan lain.
“Hubungan sesama manusia dibina secara beransur-ansur melalui pertemuan dan interaksi yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Pesta Pertengahan Musim Luruh, di sini pada Ahad.
Majlis bertemakan ‘Bertemu Di Bawah Sinar Bulan, Bersama Meraikan Pesta Pertengahan Musim Luruh’ itu dianjurkan bersama Kumpulan Tarian Seksyen Wanita Persatuan Foochow Bintulu dan Persatuan Taichi Keluarga Chen Bintulu.
Johnny Pang berkata, konsep kebersamaan sempena Pesta Pertengahan Musim Luruh tidak seharusnya hanya tertumpu kepada keluarga, sebaliknya boleh diperluas kepada komuniti dan persatuan.
Katanya, keterbukaan kumpulan berbeza untuk berinteraksi dapat memperluas jaringan persahabatan serta mengukuhkan hubungan dalam komuniti.
Beliau berkata, aktiviti tarian dan taichi yang mempunyai pendekatan berbeza turut berkongsi manfaat dari aspek kesihatan, selain menyediakan ruang kepada ahli untuk berkumpul dalam suasana yang positif.
“Pada masa akan datang, sama ada aktiviti taichi, tarian, kesihatan atau pertukaran budaya, kita boleh mewujudkan lebih banyak kerjasama supaya ahli dapat saling belajar dan aktiviti persatuan menjadi lebih pelbagai serta bertenaga,” ujarnya.
Beliau berharap inisiatif seumpama itu dapat diteruskan dengan penglibatan lebih banyak persatuan dan kumpulan komuniti, sekali gus menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih erat dan saling menyokong. -EDISI UKAS