Sarawak Bawa Perspektif Tenaga Ke Pentas Global Di Bangkok
BANGKOK: Sarawak terus memperkukuh kedudukannya dalam landskap tenaga serantau dan global menerusi penyertaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam Dialog Bangkok 2026: Dialog Menteri dan Industri sempena Gastech 2026 di sini pada Isnin.
Penyertaan tersebut memberi ruang kepada Sarawak membawa perspektif serta aspirasinya dalam perbincangan strategik mengenai masa depan tenaga, merangkumi keselamatan bekalan, kemampuan kos, pembangunan industri dan peralihan ke arah tenaga rendah karbon.
Dialog anjuran Menteri Tenaga Thailand itu menghimpunkan menteri-menteri tenaga, ketua institusi tenaga antarabangsa serta pemimpin industri dan sektor kewangan dari Asia, Timur Tengah, Afrika, benua Amerika dan Australasia.
Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha menjamin bekalan tenaga, memperkukuh kerjasama antarabangsa, mengurangkan pelepasan karbon serta meningkatkan daya tahan sistem tenaga dalam menghadapi perubahan landskap tenaga dunia.
Ia turut mengambil kira perkembangan pelaburan tenaga global yang mencecah AS$3.3 trilion pada 2025, manakala lebih 80 peratus pertumbuhan permintaan tenaga dijangka berpunca daripada ekonomi sedang pesat membangun dan negara membangun.
Antara cabaran utama yang diketengahkan ialah jurang antara dasar kerajaan dengan keupayaan industri untuk melaksanakannya, selain proses kelulusan dan permit, ketidaktentuan fiskal, risiko kontrak serta kesan ketegangan geopolitik terhadap rantaian bekalan tenaga.
Penglibatan Sarawak dalam platform antarabangsa berkenaan turut memperluas ruang kerjasama dan pertukaran pandangan dengan pemain utama sektor tenaga dunia, selari dengan usaha Sarawak membangunkan sektor tenaga yang berdaya tahan, kompetitif dan mampan.
Hadir sama Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Petchem, Dato Mohammad Ibrahim. -EDISI UKAS