Sarawak Perkukuh Kecekapan Pengangkutan Rentas Sempadan
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh kecekapan pengangkutan rentas sempadan bagi memastikan pergerakan manusia dan barangan antara Sarawak, Brunei Darussalam dan Sabah lebih jelas, cekap serta mudah dijangka.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, hubungan darat antara ketiga-tiga wilayah itu bukan sahaja menyokong pergerakan manusia dan barangan, malah penting kepada perdagangan, pelancongan, pelaburan dan rantaian bekalan di Borneo.
“Bagi Sarawak, ketersambungan bukan sekadar soal pengangkutan, ia merupakan isu daya saing ekonomi.
“Hubungan darat kita dengan Brunei Darussalam dan Sabah menyokong pergerakan orang ramai, barangan, perdagangan, pelancongan, pelaburan dan rantaian bekalan, di samping menghubungkan komuniti di seluruh Borneo.
“Kami terus menambah baik jalan raya dan infrastruktur pengangkutan, namun infrastruktur yang baik semata-mata tidak menjamin kesalinghubungan yang baik. Proses sempadan, permit, dokumentasi, pemeriksaan dan keperluan kawal selia juga mestilah cekap dan boleh dijangka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran ‘Cross-Border Operational Guidebook for Sarawak-Brunei-Sabah Transportation Efficiency’ dan perasmian ‘BIMP-EAGA Land Transport MoUs Review & Stakeholder Workshop’ di sebuah hotel, di sini pada Isnin.
Menurut Dato Sri Lee, semakan terhadap dua Memorendum Persefahaman (MoU) Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) berkaitan pergerakan rentas sempadan bas komersial dan bas persiaran serta transit dan pengangkutan barangan antara negeri adalah tepat pada masanya.
Katanya, perkembangan dari segi peraturan, teknologi, amalan industri dan jangkaan pengguna menjadikan semakan tersebut penting bagi memastikan keperluan pengangkutan rentas sempadan terus relevan.
“Kita tidak semestinya perlu menyamakan setiap peraturan kerana setiap bidang kuasa mempunyai undang-undang dan tanggungjawab masing-masing.
“Sebaliknya, kita perlu mengutamakan kejelasan, penyelarasan, kefahaman bersama dan kebolehramalan sejauh yang boleh,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penglibatan industri penting bagi mengenal pasti isu operasi dan penambahbaikan praktikal, manakala ‘Cross-Border Operational Guidebook’ membantu pengendali memahami dokumen, permit, pihak berkuasa dan syarat perjalanan rentas sempadan.
Menurutnya, panduan tersebut perlu dikemas kini secara berterusan selaras dengan perubahan peraturan dan operasi, selain menyokong usaha daripada aspek kejelasan kepada penyederhanaan, penyelarasan dan pendigitalan yang lebih meluas.
Beliau berharap bengkel dua hari itu dapat menghasilkan cadangan yang jelas, termasuk pindaan, dasar dan pelaksanaan serta tindakan susulan bagi setiap penambahbaikan yang dicadangkan.
Beliau berkata, pengukuhan hubungan rentas sempadan yang lebih cekap berupaya memudah cara perdagangan, menggalakkan pelancongan, memperkukuh rantaian bekalan, meningkatkan akses kepada pasaran serta merapatkan hubungan masyarakat di seluruh Borneo.
Sarawak, katanya, komited memainkan peranan aktif dalam membangunkan wilayah BIMP-EAGA yang lebih terhubung, cekap dan berdaya saing melalui kerjasama kerajaan, agensi kawal selia dan pihak industri.
Turut hadir semasa profram tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Dr Mohamad Norjayadi Tamam. -EDISI UKAS