Pengguna AI Diingatkan Semak Fakta, Patuhi Undang-Undang
KUCHING: Pengguna teknologi kecerdasan buatan (AI) diingatkan supaya menyemak kesahihan kandungan yang dihasilkan sebelum menggunakannya atau menyebarkannya kepada umum.
Menteri Komunikasi, Dato Sri Fahmi Fadzil berkata, aplikasi AI berkemungkinan menghasilkan maklumat yang tidak betul dalam bentuk teks, video, grafik dan sebagainya, justeru pengguna perlu menggunakannya secara bijak serta mematuhi undang-undang sedia ada.
“Sekiranya sesuatu yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) melanggar undang-undang, maka elakkan daripada kita menyebar kandungan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi sidang media selepas merasmikan Pameran Sambutan Perayaan Hari Malaysia Tahun 2026 di Atrium Utama, Plaza Merdeka, di sini pada Isnin.
Dato Sri Fahmi berkata, perkembangan AI turut menjadi perhatian di peringkat global, termasuk perbincangan mengenai kerangka kawal selia bagi menangani risiko teknologi berkenaan, bukan sahaja berkaitan kandungan yang dihasilkan tetapi juga potensi AI menjadi ancaman kepada manusia.
Dalam pada itu, beliau berkata tindakan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang lazimnya berdasarkan aduan yang dibawa kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Mengulas penggunaan AI sempena Sambutan Hari Malaysia, beliau mengingatkan khususnya rakan media supaya memastikan kandungan visual yang dijana berkaitan Jalur Gemilang mematuhi spesifikasi sebenar.
“Kalau kita menghasilkan atau menjana grafik terutama yang mempunyai gambar Jalur Gemilang, sila pastikan bucu untuk bintang itu cukup 14, jalur cukup 14, dan jangan ada warna yang berbeza,” tegas beliau.
Menurutnya, maklumat yang disediakan menerusi pameran berkenaan boleh dijadikan panduan untuk mendapatkan fakta tepat berkaitan Jalur Gemilang, termasuk warna, jumlah jalur serta bucu bintang.
Sambil menyentuh isu jerebu semasa, beliau turut menasihatkan orang ramai yang berada lama di kawasan terbuka supaya memakai pelitup muka, khususnya jenis N95 seperti yang disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Informasi dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol serta Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan. -EDISI UKAS