Status Projek Dewan Serbaguna, Surau Sinjan Diberi Perhatian
KUCHING: Status pelaksanaan projek Dewan Serbaguna Kampung Sinjan dan naik taraf Surau Darul Ikhsan Kampung Sinjan diberi perhatian menerusi satu mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.
Mesyuarat yang berlangsung di Pusat Khidmat Tupong, di sini, pada Isnin itu memberi tumpuan kepada perkembangan semasa kedua-dua projek, termasuk kerja-kerja awal tapak, keperluan pelaksanaan serta perkara yang memerlukan tindakan dan penyelarasan lanjut daripada pihak berkaitan.
Dato Fazzrudin turut meneliti setiap perkembangan projek bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar mengikut perancangan serta mengambil kira keperluan masyarakat setempat.
Projek Dewan Serbaguna Kampung Sinjan dijangka menyediakan kemudahan lebih sesuai untuk pelbagai aktiviti kemasyarakatan, manakala kerja naik taraf Surau Darul Ikhsan penting bagi meningkatkan keselesaan jemaah serta menyokong aktiviti keagamaan penduduk setempat.
Mesyuarat turut menekankan kepentingan pemantauan dan penyelarasan berterusan bagi memastikan kedua-dua projek berkenaan dapat dilaksanakan dengan baik serta memberi manfaat kepada penduduk Kampung Sinjan dan kawasan sekitar. -EDISI UKAS