Generasi Muda Diseru Telusuri Sejarah Pembentukan Malaysia
KUCHING: Generasi muda diseru menelusuri kronologi pembentukan Malaysia menerusi pameran terowong sejarah di Plaza Merdeka bagi memahami dan menghayati sejarah penubuhan negara pada 16 September 1963.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pameran tersebut memberi peluang kepada generasi yang lahir selepas 1963 untuk melihat sendiri perjalanan pembentukan Malaysia yang kini mencecah usia 63 tahun.
“Kepada warga Sarawak terutamanya anak-anak muda yang lahir selepas '63, sila datang ke tapak pameran dalam terowong sejarah kita dan lihat satu per satu perjalanan kronologi penubuhan Malaysia kerana tidak ramai yang tahu bagaimana ia ditubuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi sidang media sempena Pameran Sambutan Perayaan Hari Malaysia Tahun 2026 di Atrium Utama, Plaza Merdeka, di sini pada Isnin.
Dato Sri Abdul Karim menjelaskan, pembentukan Malaysia pada 1963 melibatkan gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura sebelum Singapura keluar pada 1965, sekali gus menjadikan 16 September tarikh yang amat penting bagi seluruh rakyat.
Menurut beliau, kandungan serta butiran dalam terowong sejarah itu dijayakan hasil kerjasama Kementerian Komunikasi bersama agensi-agensi peringkat Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Sambutan Perayaan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada malam 16 September ini.
Majlis kemuncak berkenaan bakal dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Perdana Menteri Malaysia Dato Seri Anwar Ibrahim Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat yang tidak berkesempatan hadir secara fizikal agar menyaksikan siaran langsung di televisyen bagi bersama-sama meraikan detik bersejarah tersebut dari rumah.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Komunikasi serta semua agensi Persekutuan dan Negeri yang terlibat dalam menjayakan penganjuran sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi Dato Sri Fahmi Fadzil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Informasi dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol serta Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan. -EDISI UKAS