Raptai Majlis Penyerahan Rasmi Pelabuhan Bintulu Berjalan Lancar
KUCHING: Raptai Majlis Penyerahan Bintulu Daripada Kerajaan Persekutuan Kepada Kerajaan Sarawak berjalan lancar yang berlangsung di Bilik Media Terminal Orang Kenamaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) pada Isnin.
Sesi raptai bagi majlis penyerahan tersebut diadakan sebagai persiapan akhir menjelang majlis rasmi yang dijadualkan berlangsung pada 16 September ini.
Majlis Penyerahan Rasmi Pelabuhan Bintulu merupakan detik penting dalam hubungan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam aspek pembangunan serta pengurusan infrastruktur pelabuhan negeri.
Sesi raptai ini penting bagi memastikan majlis tersebut bergerak lancar dan segala persiapan pada majlis penting itu telah sempurna terutamanya dengan kehadiran pemimpin utama negara.
Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dijadualkan hadir bagi menyaksikan majlis bersejarah tersebut.
Sesi berkenaan melibatkan persediaan utama iaitu penyerahan rasmi dokumen penyerahan rasmi Pelabuhan Bintulu di antara Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook pada hari kejadian.
Selain itu, atur cara turut merangkumi sesi bergambar bersama simbolik penyerahan serta sidang media bersama Perdana Menteri dan Premier Sarawak. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery