Penyenaraian UAE Bukti Keupayaan Syarikat Bumiputera Sarawak Tembusi Pasaran Modal
KUALA LUMPUR: Penyenaraian United Asiapac Energy Berhad (UAE) di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini mencatat pencapaian penting dalam agenda Kerajaan Sarawak memperkasa syarikat Bumiputera untuk menembusi pasaran modal negara.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merakamkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan seluruh warga UAE atas pencapaian tersebut.
Menurutnya, UAE, syarikat yang menyediakan penyelesaian intervensi telaga khusus untuk industri minyak dan gas huluan, membuktikan keupayaan syarikat Bumiputera Sarawak untuk berkembang dan bersaing pada skala lebih besar.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Penasihat Perusahaan Kecil dan Sederhana MINTRED, Dato Sri Mohd Naroden Majais, di majlis penyenaraian berkenaan di sini, pada Isnin.
Dalam ucapan sama, Datuk Amar Awang Tengah turut memaklumkan bahawa, Kerajaan Sarawak akan terus membantu syarikat Bumiputera berpotensi menerusi proses pembangunan dan bimbingan berstruktur, bagi membolehkan mereka berkembang daripada perusahaan mikro kepada perusahaan kecil dan sederhana, seterusnya menjadi syarikat besar yang bersedia untuk disenaraikan.
Usaha itu katanya, akan dilaksanakan MINTRED bersama agensi persekutuan dan negeri serta rakan strategik menerusi Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC).
Di samping itu, Datuk Amar Awang Tengah menambah, Kerajaan Sarawak turut menghargai panduan dan sokongan Kementerian Ekonomi melalui Majlis Ekonomi Bumiputera, selain menggerakkan agenda pembangunan Bumiputera di peringkat negeri melalui Majlis Ekonomi Bumiputera Sarawak.
Ujar beliau, ia selari dengan Kerangka Strategik 3-7-20, yang menyasarkan tiga syarikat Bumiputera disenaraikan di Bursa Malaysia, tujuh syarikat dibangunkan sebagai Champion dalam sektor strategik dan 20 peratus perusahaan mikro Bumiputera berpotensi beralih kepada entiti sendirian berhad menjelang 2030.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Ekonomi Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah, Ketua Pegawai Kewangan Bursa Malaysia Berhad Azizan Abdul Aziz, Pengarah Urusan UAE Ahmad Fadzuli Ali serta Ahli Lembaga Pengarah dan barisan pengurusan UAE.-EDISI UKAS