Tindakan Susulan Diperkukuh Tangani Isu Pembentungan Di Tupong
KUCHING: Isu dan kesan pelaksanaan projek pembentungan di kawasan DUN N.6 Tupong diberi perhatian bagi memastikan sebarang gangguan terhadap penduduk dapat ditangani secara teratur dan berkesan.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman berkata, penyelarasan antara agensi berkaitan dan pihak pelaksana projek penting bagi memastikan kerja-kerja pembentungan berjalan lancar, di samping meminimumkan kesannya terhadap kehidupan harian masyarakat setempat.
Beliau turut meneliti isu yang dibangkitkan serta mendapatkan perkembangan dan penjelasan daripada pihak berkaitan mengenai situasi semasa di kawasan yang terlibat.
Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Isu dan Kesan Pembentungan di DUN Tupong yang dipengerusikan beliau di sini pada Isnin.
Mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek, kesan kerja pembentungan terhadap penduduk dan kawasan sekitar serta langkah penyelesaian yang boleh diambil bagi mengurangkan gangguan kepada masyarakat.
Perbincangan turut menekankan keperluan tindakan susulan yang berkesan menerusi kerjasama dan penyelarasan berterusan antara semua pihak terlibat.
Usaha itu penting bagi memastikan isu berkaitan projek dapat ditangani dengan sewajarnya, selain memastikan kepentingan dan kesejahteraan penduduk DUN Tupong terus diberi keutamaan.-EDISI UKAS