133 Pelajar Tebedu Terima Insentif Pendidikan Berjumlah RM52,300
SERIAN: Seramai 133 pelajar dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu menerima Insentif Bantuan Pelajar 2026 membabitkan peruntukan RM52,300 sebagai sokongan meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi dan bidang kemahiran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Dr Simon Sinang Bada berkata, program berkenaan dilaksanakan secara berterusan sejak 2022 sebagai usaha memberi galakan, motivasi dan sokongan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) serta kolej kemahiran.
Menurut beliau, jumlah penerima keseluruhan menunjukkan peningkatan sejak program itu diperkenalkan, dengan 77 penerima pada 2022, 78 pada 2023, 117 pada 2024, 160 pada 2025 dan 133 pada tahun ini.
“Pada tahun 2022, seramai 77 orang menerima insentif, diikuti 78 orang pada 2023, 117 orang pada 2024, 160 orang pada 2025 dan 133 orang pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Insentif Pelajar 2026, di sini pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, secara keseluruhan seramai 563 pelajar telah menerima manfaat daripada program tersebut sepanjang tempoh 2022 hingga 2026.
Penerima tahun ini melibatkan pelajar dari 59 kampung, termasuk mereka yang berasal dari tiga buah sekolah menengah kebangsaan (SMK) dan 23 sekolah rendah (SK) di kawasan berkenaan. -EDISI UKAS