Pertandingan Nyanyian Rentas Marga Perkukuh Perpaduan Komuniti Miri
MIRI: Pertandingan Nyanyian Persatuan Marga Miri 2026 memperkukuh hubungan antara pelbagai persatuan marga di Miri menerusi platform bersama yang turut membuka ruang kepada golongan belia untuk aktif dalam kegiatan komuniti.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, konsep rentas marga yang diterapkan dalam pertandingan berkenaan membolehkan anggota daripada pelbagai persatuan berkumpul, berinteraksi dan mengeratkan persahabatan tanpa dibatasi perbezaan marga.
Menurut beliau, muzik boleh menjadi medium penyatuan masyarakat apabila aktiviti bersama memberi peluang kepada peserta mengenali antara satu sama lain serta membina hubungan lebih erat.
“Marga yang berbeza tidak menghalang kita daripada menjadi sahabat; budaya yang berbeza juga tidak menghalang kita daripada menjadi sebuah keluarga. Inilah semangat Sarawak yang sentiasa kita hargai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Nyanyian Persatuan Marga Miri 2026 di Pusat Beli Belah Boulevard, di sini, pada Sabtu.
Katanya, penganjuran aktiviti merentasi marga juga selari dengan semangat kepelbagaian Sarawak yang dihuni masyarakat daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan bahasa yang terus hidup bersama berasaskan sikap saling menghormati dan bertolak ansur.
Dalam pada itu, Dato Sri Lee turut menekankan kepentingan penglibatan generasi muda dalam aktiviti persatuan marga bagi memastikan kesinambungan organisasi serta warisan budaya terus terpelihara.
Menurut beliau, aktiviti seperti muzik, sukan, pertukaran budaya dan kebajikan boleh menjadi ruang kepada belia untuk menyertai, merancang program serta mengetengahkan bakat dan idea baharu.
Beliau turut menghargai peranan persatuan Cina, persatuan marga dan persatuan komuniti di Miri yang bukan sahaja menjaga kebajikan ahli serta memelihara warisan budaya, malah menyumbang kepada pengukuhan hubungan masyarakat setempat.
Pertandingan berkenaan dianjurkan Persatuan Klan Yap Miri bersama Biro Belia dengan penyertaan daripada pelbagai persatuan marga di Miri.
Turut hadir, Kapitan Aries Leong Chin Lim yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.-EDISI UKAS