Penduduk Mupong, Teluk Gelam Diseru Pertahan Tanah NCR
MUPONG: Penduduk khususnya masyarakat Iban di Mupong dan Teluk Gelam diseru mempertahankan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang dimiliki bagi memastikan aset berkenaan terus memberi manfaat kepada generasi akan datang.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, tanah NCR merupakan aset penting yang mempunyai nilai jangka panjang kepada pemilik dan keluarga.
Menurutnya, seruan itu selaras dengan amanat Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, supaya tanah NCR yang telah diukur dan diiktiraf kerajaan terus dipertahankan oleh pemiliknya.
“Kerajaan Sarawak telah berusaha untuk menyukat tanah-tanah NCR supaya dapat diagihkan kepada penduduk yang mempunyai tuntutan yang sah.
“Justeru, apabila tanah ini sudah diperoleh, kita berharap penduduk dapat mengekalkannya dan tidak menjual kepada pihak luar yang hanya melihat peluang untuk mendapatkan keuntungan dalam tempoh singkat,” katanya ketika berucap pada Sesi Randau Bersama Tuai Rumah di Sekolah Kebangsaan Mupong, di sini, pada Sabtu.
Tambah Datuk Abdullah, pembangunan infrastruktur seperti projek jalan sepanjang 5.8 kilometer, tiga jalan spur dan dua jambatan bernilai sekitar RM82 juta yang menghubungkan Mupong ke Teluk Gelam serta jalan Tanjung Manis-Sarikei-Sibu turut dijangka membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan masyarakat supaya melihat tanah NCR sebagai warisan untuk generasi akan datang, selain menggalakkan mereka mempelbagaikan sumber pendapatan melalui penternakan dan industri hiliran berasaskan hasil pertanian.
Beliau turut menyeru penduduk mempelbagaikan sumber pendapatan dengan meneroka bidang penternakan serta industri hiliran berasaskan hasil pertanian.
“Jangan hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan. Kita perlu melihat peluang lain yang ada, termasuk penternakan dan industri hiliran supaya hasil yang kita keluarkan dapat diproses dan memberikan pulangan yang lebih baik kepada masyarakat,” katanya.-EDISI UKAS