Program Outreach MEITD Perluas Akses Pelajar Luar Bandar Kepada Peluang Pendidikan
SEBAUH: Pelajar luar bandar kini diberi akses lebih dekat kepada maklumat peluang pendidikan tinggi, latihan kemahiran dan laluan kerjaya menerusi Program Outreach Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) 2026.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pendedahan secara langsung penting bagi memastikan pelajar, khususnya di kawasan luar bandar, mengetahui serta memahami peluang pendidikan yang disediakan kerajaan negeri.
Menurut beliau, masih terdapat pelajar berpotensi tinggi yang tidak mengetahui mengenai peluang pendidikan tersedia, sekali gus menjadikan penyampaian maklumat secara terus kepada pelajar satu keperluan penting.
“Kadang-kadang ada pelajar yang sangat bijak dan merupakan antara pelajar terbaik di Sarawak, tetapi mereka tidak mengetahui mengenai program ini.
“Jadi, saya mahu pelajar memahami peluang yang ada dan membuat pilihan berdasarkan maklumat yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Outreach MEITD 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Roland Sagah berkata, antara peluang utama yang perlu difahami pelajar ialah Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), termasuk syarat kelayakan serta bidang pengajian yang ditawarkan.
Pendedahan tersebut, jelasnya, membolehkan pelajar membuat perancangan pendidikan berdasarkan pilihan yang bersesuaian dengan kelayakan, minat dan hala tuju kerjaya masing-masing.
Selain peluang pendidikan tinggi, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan bagi membantu mengurangkan halangan kewangan yang mungkin dihadapi pelajar dan keluarga.
Beliau berkata, faktor lokasi dan latar belakang keluarga tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelajar untuk mengetahui serta memanfaatkan peluang pendidikan yang tersedia.
Dalam pada itu, pencapaian pendidikan di Sebauh turut menunjukkan perkembangan positif apabila kadar kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) meningkat daripada 93.88 peratus pada 2024 kepada 94.89 peratus pada 2025.
Menurut Dato Sri Roland Sagah, peningkatan itu mencerminkan komitmen sekolah, pelajar, ibu bapa dan komuniti dalam memperkukuh prestasi pendidikan di kawasan berkenaan.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr. Annuar Rapa’ee, Setiausaha Tetap MEITD, Datu Adana Jed, Pegawai Pendidikan Daerah Tatau/Sebauh, Gani Egit, Pegawai Daerah Sebauh, Thadeus Ling Bartholomew Allu, Pengetua SMK Sebauh, Sewing Gak serta Pegawai Khas (Bahagian Pendidikan Tinggi) MEITD, Prof. Emeritus Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid.-EDISI UKAS