Pesta Pertengahan Musim Luruh Satukan Peniaga, Masyarakat Batu 3
KUCHING: Hubungan bersama peniaga dan masyarakat setempat terus diperkukuh menerusi Program Santuni Peniaga dan Masyarakat Pasar Batu 3 sempena sambutan Pesta Pertengahan Musim Luruh pada Sabtu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, program berkenaan memberi peluang untuk beliau bertemu dan berinteraksi secara langsung dengan peniaga serta masyarakat di Pasar Maong dan kawasan kedai Batu 3.
Menerusi program tersebut, beliau turut mengagihkan kuih bulan kepada peniaga dan orang ramai sebagai tanda penghargaan sempena sambutan perayaan berkenaan, yang turut menyemarakkan nilai kekeluargaan, kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Beliau turut meluangkan masa beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung pasar, selain mendengar pandangan serta melihat sendiri keadaan komuniti setempat.
Program tersebut disertai kira-kira 40 orang dan turut menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan antara wakil rakyat dengan masyarakat menerusi interaksi secara langsung.
Turut hadir, Kaunselor Alvin Chong, Kaunselor Gerald Goh dan ketua masyarakat.- EDISI UKAS