Kerjasama Kerajaan, Masyarakat Pacu Pembangunan Ummah Di Gedong
GEDONG: Kerjasama erat antara agensi kerajaan, jawatankuasa masjid dan surau serta masyarakat setempat perlu terus diperkukuh bagi memastikan usaha pembangunan ummah dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) merangkap Wakil Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, hubungan rapat antara kerajaan dan masyarakat membolehkan keperluan komuniti dikenal pasti serta ditangani dengan lebih berkesan.
Menurut beliau, pendekatan berasaskan ziarah, perkongsian ilmu dan interaksi secara langsung bersama masyarakat merupakan antara kaedah penting untuk memahami keperluan setempat, selain menyampaikan perkhidmatan serta bimbingan yang diperlukan.
“Ziarah Mahabbah membawa maksud datang bertemu, mendengar, memahami dan membina hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak Tahun 1448H/2026M Zon Selatan, di sini pada Sabtu.
Dato Sri Mohd Naroden berkata, program tersebut bukan sekadar memberi pengisian berkaitan keagamaan, malah menyediakan ruang kepada masyarakat mendapatkan ilmu dan panduan yang boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.
Antara pengisian yang diketengahkan termasuk pengurusan jenazah, pengimarahan masjid dan surau, Gedong Berselawat, ceramah kekeluargaan serta Resipi Mengikat Hati.
Dalam pada itu, beliau menegaskan masjid dan surau mempunyai peranan lebih luas sebagai pusat penyatuan masyarakat, penyebaran ilmu, kebajikan serta pembangunan ummah.
Beliau turut menekankan kepentingan pengukuhan institusi keluarga sebagai asas kepada pembentukan masyarakat yang stabil dan sejahtera.
Sehubungan itu, beliau menyeru agensi kerajaan, jawatankuasa masjid dan surau serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya terus memperkukuh jaringan kerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing demi memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat.
Mengulas pembangunan di Gedong, beliau berkata pelbagai perancangan kerajaan yang sedang dilaksanakan perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuh sektor pendidikan, pekerjaan, keusahawanan dan pertanian, selain menyediakan masa depan lebih baik kepada generasi akan datang.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak, Mual Suaud, Penolong Pegawai Daerah Gedong, Mohammad Fiirdaus Habari dan Ketua Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak, Hazimin Shakir Said. -EDISI UKAS