Ziarah Mahabbah Wadah Dekati Masyarakat, Perkasa Pembangunan Ummah Secara Menyeluruh
GEDONG: Program Ziarah Mahabbah Majlis Islam Sarawak (MIS) menjadi wadah mendekati masyarakat secara langsung bagi memahami keperluan di peringkat akar umbi, sekali gus memperkukuh usaha pembangunan ummah secara menyeluruh di Sarawak.
Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) merangkap Setiausaha MIS, Mual Suaud berkata, pendekatan turun padang membolehkan agensi Islam bukan sekadar menunggu masyarakat mendapatkan perkhidmatan, malah tampil mendekati, memahami serta mencari penyelesaian terhadap keperluan sebenar komuniti.
“Dakwah bukan hanya apa yang disampaikan dari mimbar atau pentas, tetapi bagaimana kita mendekati manusia, memahami keadaan, dan membawa manfaat kepada kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Ziarah Mahabbah MIS Tahun 1448H/2026M Zon Selatan, di sini pada Sabtu.
Program yang berlangsung selama dua hari di Dewan Masyarakat Gedong dan Masjid Al-Kausar itu menerima penyertaan hampir 600 peserta, mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap pendekatan yang menggabungkan pengisian keagamaan, khidmat masyarakat dan perkongsian ilmu.
Inisiatif Gedong Berselawat turut diadakan sebagai pengisian kerohanian menerusi amalan zikir dan doa dalam usaha membina kekuatan spiritual masyarakat ketika berdepan pelbagai cabaran kehidupan.
Mual berkata penganjuran tersebut turut memperlihatkan sinergi antara pelbagai agensi di bawah MIS, termasuk Mahkamah Syariah, Pusat Maklumat Islam (IIC) dan Jabatan Mufti, dengan kerjasama agensi Persekutuan seperti Lembaga Tabung Haji serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Penganjuran ini mencerminkan sinergi strategik pelbagai agensi di bawah MIS seperti Mahkamah Syariah, Pusat Maklumat Islam (IIC), dan Jabatan Mufti, dengan kerjasama agensi Persekutuan termasuk Tabung Haji serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” ujarnya.
Menurut beliau, pendekatan tersebut selari dengan semangat Umat Maju Bangun yang memberi penekanan terhadap keseimbangan pembangunan fizikal dan rohani bagi melahirkan masyarakat yang berakhlak, berdaya saing dan sejahtera. -EDISI UKAS