Semakan Spesifikasi, Reka Bentuk Pastikan Projek Perumahan Kekal Dalam Bajet
BETONG: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menekankan aspek kecekapan kos dan perancangan teliti dalam pelaksanaan projek cadangan pembinaan 17 unit Perumahan Luar Bandar di Bukit Saban dan Lingga.
Beliau yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, pihak teknikal perlu menilai semula spesifikasi bahan yang digunakan bagi memastikan kos pembinaan dapat dikawal tanpa menjejaskan keperluan asas perumahan.
Perkara itu dinyatakan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Projek Cadangan Bina Baharu 11 Unit Perumahan Luar Bandar Bukit Saban dan 6 Unit Perumahan Luar Bandar Lingga di Bilik Mesyuarat Kenyalang, Pejabat Residen Bahagian Betong, Sabtu.
Dalam mesyuarat tersebut, perincian projek yang dibiayai di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) telah dibentangkan oleh Jurutera Bahagian JKR Betong.
Datuk Amar Douglas turut meminta pihak teknikal mengkaji semula reka bentuk unit perumahan yang melibatkan kos tinggi serta meneliti kemungkinan menggunakan reka bentuk yang lebih kos efektif dan bersesuaian dengan peruntukan projek.
Beliau berkata, penelitian tersebut penting bagi mengenal pasti sama ada reka bentuk semasa menyumbang kepada peningkatan kos serta memastikan setiap unit perumahan dapat dilaksanakan dalam lingkungan bajet yang ditetapkan.
Selain itu, beliau turut mengarahkan pihak bertanggungjawab menyelesaikan sebarang isu berkaitan status dan tapak tanah bagi setiap unit perumahan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan dalam pelaksanaan projek.
Turut hadir, Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, Pegawai Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA), Abg Mohamed bin Abg Turkey, Jurutera Bahagian JKR Betong, Jason Ng Boon Tuan; Pegawai Pertanian Bahagian Betong, Leo Toni, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong dan Pegawai Tadbir Menguasa Daerah Kecil Spaoh, Denny Lim. - EDISI UKAS