Integriti Dibentuk Melalui Amalan, Bukan Sekadar Lafaz
SARIKEI: Integriti dalam perkhidmatan awam perlu diterapkan melalui amalan kerja yang konsisten dan bukan sekadar dizahirkan menerusi lafaz ikrar atau program.
Residen Bahagian Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong berkata, penghayatan integriti perlu bermula daripada diri setiap penjawat awam melalui pelaksanaan tugas yang amanah, berdisiplin dan mematuhi peraturan.
Menurutnya, pengurusan masa, pematuhan prosedur serta pelaksanaan tugas secara bertanggungjawab merupakan antara perkara asas yang mencerminkan nilai integriti dalam perkhidmatan awam.
Katanya, pembentukan budaya kerja berintegriti memerlukan kesedaran dan komitmen berterusan supaya nilai tersebut menjadi sebahagian daripada amalan harian.
“Integriti bukan hanya berkaitan tugas di pejabat, sebaliknya turut tercermin melalui tindakan dan tingkah laku kita dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Integriti 2026 Bahagian Sarikei di Pejabat Pentadbiran Bahagian Sarikei, di sini, pada Sabtu.
Datu Michael berkata, pelaksanaan Modul Pemantapan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR) penting dalam meningkatkan kefahaman warga perkhidmatan awam mengenai integriti, tatakelola dan usaha membudayakan antirasuah.
Beliau berharap pengisian modul tersebut dapat diterapkan dalam tugasan harian dan tidak terhenti sebagai program latihan semata-mata.
Menurutnya, setiap warga pentadbiran perlu melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sentiasa teratur dan berkualiti.
Program berkenaan turut menyaksikan Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai komitmen warga perkhidmatan awam untuk menolak amalan rasuah serta memperkukuh integriti dalam pelaksanaan tugas. - EDISI UKAS