Kesihatan Perlu Diberi Keutamaan, Asas Penting Pembangunan Komuniti
PAKAN: Kesihatan perlu diberi keutamaan kerana masyarakat yang sihat merupakan asas penting dalam menyokong pembangunan serta kesejahteraan komuniti.
Penasihat Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri Datuk Sri William Mawan Ikom berkata, tahap kesihatan yang baik membolehkan masyarakat terus menyumbang secara aktif dalam pelbagai aspek pembangunan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan hadapan kesihatan yang sentiasa memberikan khidmat dan komitmen dalam memastikan kesejahteraan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Kesihatan merupakan perkara yang sangat penting kepada manusia. Melalui kesihatan yang baik, kita dapat menyumbang kepada pelbagai aspek pembangunan.
“Oleh itu, saya berharap lebih banyak aktiviti seumpama ini dapat dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai betapa pentingnya penjagaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Kempen Kesedaran Kesihatan Wanita dan Saringan Kesihatan anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Pakan di Rumah Janting, Jalan Wak Enturong Lemujan, Pakan, pada Sabtu.
Menurut beliau, program yang memberi tumpuan kepada aspek kesedaran, pencegahan dan saringan awal amat penting kerana dapat membantu masyarakat mengambil tindakan sewajarnya terhadap tahap kesihatan masing-masing.
Sehubungan itu, beliau menyatakan kesediaan untuk terus membantu dan memberikan sokongan terhadap program kesihatan yang memberi impak besar kepada komuniti.
Dalam perkembangan sama, beliau mengumumkan peruntukan RM10,000 kepada Panel Penasihat Kesihatan Pakan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta usaha meningkatkan kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat setempat.
Turut diumumkan ialah peruntukan RM100,000 kepada Rumah Panjang Janting bagi tujuan kerja-kerja menyimen halaman rumah panjang berkenaan.
Selain itu, Klinik Kesihatan Pakan turut menerima peruntukan RM10,000, manakala sejumlah peruntukan daripada projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Pakan turut disalurkan bagi menyokong keperluan pembangunan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
Beliau berharap sokongan berterusan daripada semua pihak dapat memperkukuh usaha meningkatkan kesedaran kesihatan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Katanya, kerjasama erat antara petugas kesihatan, pemimpin masyarakat dan komuniti amat penting bagi memastikan agenda penjagaan kesihatan dapat dilaksanakan secara berterusan dan memberi manfaat kepada rakyat - EDISI UKAS