RM12,000 Perkukuh Aktiviti Biro Wanita Dan JKKK Nanga Ban
BETONG: Biro Wanita dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Nanga Ban menerima suntikan dana berjumlah RM12,000 bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan serta memperkukuh pembangunan komuniti setempat.
Penyampaian cek dan peruntukan dana tersebut telah diumumkan pada Majlis Pengerami Merarau Serakup Indu (Biro Wanita) dan JKKK Rumah Morris Nanga Ban, Betong 2026 yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu di Rumah Panjang Nanga Ban, di sini, pada Sabtu.
Daripada jumlah tersebut, Datuk Geraldtelah menyampaikan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM4,000 kepada Biro Wanita Nanga Ban serta mengumumkan tambahan peruntukan RM3,000 kepada JKKK Nanga Ban.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Panjang Nanga Ban.
Sumbangan tersebut merupakan tanda sokongan dan penghargaan terhadap usaha komuniti, khususnya kerjasama antara Biro Wanita dan JKKK Nanga Ban dalam menganjurkan program kemasyarakatan seperti Pengerami Merarau serta pelbagai aktiviti lain untuk penduduk rumah panjang.
Peruntukan berkenaan turut dilihat dapat membantu memperkasakan peranan Biro Wanita dan JKKK sebagai penghubung antara penduduk rumah panjang dengan agensi kerajaan serta wakil rakyat, selain menyokong pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada komuniti.
Dato Dr Richard Rapu turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Biro Wanita Nanga Ban atas komitmen serta penglibatan aktif mereka sejak penubuhannya.
Beliau turut menyeru agar Biro Wanita terus memainkan peranan dalam memperkasakan wanita serta menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan komuniti setempat.
Majlis tersebut dihadiri Pemanca Masyarakat Iban Daerah Betong, Pemanca Norman Ngumbang, Penghulu Kawasan Layar Tengah, Penghulu Stanley Ejau Erin, Ketua Gereja St. Augustine Betong, Father Rentap Nuang, Tuai Rumah Nanga Ban, TR Morris anak Ketit dan Pengerusi Biro Wanita Nanga Ban, Lily Mindar Mandi. - EDISI UKAS