Teknologi, Pendidikan Buka Peluang Ekonomi Baharu Buat Masyarakat Bisaya
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuhkan sektor pertanian dan ekonomi luar bandar melalui penggunaan teknologi, mekanisasi, inovasi serta pendekatan pertanian moden bagi meningkatkan pendapatan rakyat.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, penggunaan teknologi digital dan ‘Internet of Things’ (IoT) mampu meningkatkan produktiviti serta kecekapan pengeluaran, sekali gus membuka potensi besar kepada masyarakat Bisaya khususnya golongan muda.
Menurut beliau, anak-anak muda tidak semestinya perlu meninggalkan kampung untuk mencari masa depan kerana sektor pertanian, makanan, agropreneur dan perusahaan berasaskan sumber tempatan mampu menjadi kerjaya yang menguntungkan dengan sokongan ilmu, teknologi serta akses kepada pasaran.
“Dalam masa yang sama, saya menggalakkan masyarakat Bisaya, khususnya golongan usahawan dan juga belia, supaya memanfaatkan bantuan pembiayaan, latihan, pemasaran, serta program pembangunan usahawan yang disediakan oleh kerajaan dan juga agensi-agensinya.
“Jangan kita hanya melihat bantuan sebagai bantuan sahaja, tetapi lihatkanlah ia sebagai modal yang boleh kita kembangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam Majlis Badudun Badapun 2026 di Kompleks UNIFOR, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, pendidikan turut menjadi bidang penting dalam memastikan anak-anak Sarawak mempunyai peluang mendapatkan pendidikan tinggi tanpa kekangan kewangan melalui Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES) melibatkan 64 program pengajian di empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak.
Ujarnya, peluang tersebut perlu dimanfaatkan anak-anak Bisaya yang layak dengan memilih bidang yang mempunyai masa depan serta seterusnya kembali menyumbang kepada pembangunan keluarga, komuniti dan Sarawak.
Jelas beliau, ini bagi melahirkan generasi Bisaya yang bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik, tetapi juga mempunyai kemahiran dalam teknologi, keusahawanan, pengurusan, dan juga bidang-bidang ilmu baru yang diperlukan oleh ekonomi masa hadapan.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak merangkap Penasihat Persatuan Bisaya Sarawak Datu Antonio Kahti Galis, Controller Kualiti Alam Sekitar Sarawak merangkap Pengerusi Persatuan Bisaya Sarawak Cawangan Bandar Kuching Datu Jack Liam serta Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan Sarawak Julin Alen. -EDISI UKAS