KUCHING: Warisan budaya masyarakat Bisaya perlu terus dipelihara dan dimanfaatkan sebagai aset penting bagi memastikan identiti serta khazanah budaya berkenaan kekal diwarisi generasi akan datang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, kekuatan Sarawak bukan sahaja terletak pada pembangunan ekonomi dan kemajuan teknologi, tetapi turut berpaksikan kepelbagaian budaya serta identiti masyarakatnya.
Menurut beliau, masyarakat Bisaya perlu melihat warisan budaya bukan sahaja sebagai peninggalan generasi dahulu, tetapi sebagai aset untuk generasi yang akan datang seperti tarian, muzik, pakaian, makanan, bahasa, adat, dan juga tradisi masyarakat Bisaya yang merupakan sebahagian daripada khazanah yang menjadikan Sarawak begitu unik.
“Dalam hal ini, saya mahu melihat golongan muda memainkan peranan yang lebih besar lagi.
“Gunakanlah media sosial, teknologi digital, dan juga kreativiti baru untuk memperkenalkan budaya Bisaya kepada dunia. Kita mahu budaya kita terus hidup, berkembang, dan juga relevan tanpa kehilangan nilai serta identiti asalnya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam Majlis Badudun Badapun 2026 di Kompleks UNIFOR, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari memberitahu, Persatuan Bisaya Sarawak mempunyai peranan penting sebagai jambatan antara generasi, bukan sahaja sebagai tempat berkumpul tetapi turut menjadi platform membangunkan bakat, kepimpinan, keusahawanan dan jaringan profesional dalam kalangan masyarakat Bisaya.
Justeru, beliau berharap Majlis Badudun Badapun dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan pengisian yang lebih pelbagai dan menarik.
Jelasnya, majlis itu bukan sahaja menjadi ruang meraikan budaya, tetapi juga sebagai platform memperkenalkan bakat anak-anak Bisaya, mengetengahkan usahawan tempatan dan mengeratkan hubungan antara generasi. -EDISI UKAS