Budaya Bisaya Wajar Didokumentasi, Dipromosi Sebagai Warisan Sarawak
KUCHING: Kebudayaan dan kesenian masyarakat Bisaya perlu terus didokumentasikan, dipelihara dan dipromosikan bagi memastikan warisan berkenaan tidak hilang ditelan zaman.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keunikan tarian, muzik dan pakaian masyarakat Bisaya merupakan antara khazanah yang menjadikan Sarawak sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya.
Menurutnya, beliau telah mengarahkan Majlis Seni Sarawak untuk memperhalusi usaha mendokumentasikan setiap suku kaum yang terdapat di Sarawak, termasuk dari aspek tarian, cara hidup, kebudayaan dan warisan.
“Kalau apa-apa majlis yang selalu kita lihat, yang dipamerkan tariannya adalah Iban, Bidayuh, Melayu, Melanau, dan Orang Ulu biarpun Orang Ulu termasuk dengan Bisaya, tapi yang selalu dipamerkan adalah tarian-tarian Kayan dan Kenyah.
“Di sinilah saya dapat melihat bahawa banyak lagi suku-suku kaum yang lain, baiknya Bisaya, baiknya Lun Bawang, baiknya Kedayan, baiknya Jati Miriek, dan yang lain-lain yang juga perlu dipertingkatkan dan dipamerkan.
“Kalau tidak diusahakan seperti itu, lama-kelamaan kebudayaan, kesenian mereka ini boleh hilang begitu sahaja. Sebab itulah perkara ini perlu diperseimbangkan,” katanya ketika berucap pada Majlis Badudun Badapun 2026 di Kompleks UNIFOR, di sini, pada Sabtu.
Dato Sri Abdul Karim menambah, kewujudan Muzium Budaya Borneo turut memainkan peranan penting sebagai platform mempamerkan kebudayaan semua kumpulan etnik di Sarawak.
Beliau memberitahu, muzium berkenaan menyediakan ruang untuk warisan dan kebudayaan pelbagai suku kaum di Sarawak diperkenalkan kepada orang ramai dan pelancong.
“Kita tidak mahu kumpulan etnik yang lebih kecil berasa bahawa mereka tidak mempunyai tempat. Itulah sebabnya jika anda berkunjung ke sana, pasti anda akan melihat sebahagian daripada diri anda.
“Kita mahu melihat semua kumpulan etnik di Sarawak merasakan bahawa Sarawak adalah milik mereka, walau sekecil mana pun jumlah mereka, sama ada hanya 10,000 atau 15,000 orang, Sarawak adalah milik kita semua,” katanya lagi.
Dalam majlis tersebut, Dato Sri Abdul Karim mengumumkan sumbangan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM50,000 kepada Persatuan Bisaya Sarawak Cawangan Bandar Kuching untuk menjalankan lebih banyak lagi aktiviti untuk satu tahun yang akan datang. -EDISI UKAS