TalentPath Perkukuh Laluan Kerjaya Golongan Muda Sarawak
BINTULU: Program TalentPath Sarawak 2026 diperkasa bagi menyediakan laluan kemahiran dan kerjaya kepada golongan muda Sarawak, termasuk lepasan sekolah, graduan baharu, pencari kerja serta individu yang mahu menukar kerjaya.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, kemahiran teknikal boleh menjadi titik perubahan kepada peserta dalam membina kerjaya dan meningkatkan pendapatan.
Menurut beliau, pensijilan yang diiktiraf boleh membuka peluang pekerjaan pertama, sebelum pengalaman yang diperoleh membantu meningkatkan pendapatan dan perkembangan kerjaya.
“Bagi kebanyakan mereka, kemahiran teknikal boleh menjadi titik perubahan.
“Pensijilan yang diiktiraf boleh membuka pintu kepada pekerjaan pertama, manakala pekerjaan pertama boleh membawa kepada pengalaman, peningkatan pendapatan dan perkembangan kerjaya,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran TalentPath Sarawak 2026: Bintulu Series di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Dato Sri Roland berkata, laluan berasaskan kemahiran perlu terus diperkukuh kerana kemahiran teknikal dan vokasional penting dalam membangunkan industri, menyelenggara infrastruktur serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menggesa peserta supaya mengambil serius latihan yang diikuti, menguasai kemahiran teknikal dan mengutamakan keselamatan di tempat kerja.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya sentiasa mendengar tunjuk ajar tenaga pengajar, belajar daripada kesilapan, bekerjasama dengan orang lain dan membina sikap sebagai pembelajar sepanjang hayat.
“Diingatkan bahawa sijil mungkin membuka pintu, tetapi kompetensi, disiplin, sikap dan kesediaan untuk belajar akan menentukan sejauh mana anda berkembang dalam kerjaya,” ujarnya.-EDISI UKAS