Lapan Pasukan Buru Tiket Final Piala Parlimen P200 Batang Sadong
SIMUNJAN: Lapan pasukan kini hanya selangkah daripada pentas final Kejohanan Bola Sepak Piala Parlimen P200 Batang Sadong selepas masing-masing melepasi saingan suku akhir bagi kategori veteran dan senior.
Empat pasukan daripada setiap kategori akan berentap pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium Mini Simunjan pada 26 September ini bagi merebut tiket ke perlawanan akhir sehari kemudian.
Bagi kategori veteran, Ex Force akan berdepan Kaslo FC, manakala Abok FC menentang Megalodon Vet FC dalam saingan separuh akhir.
Keempat-empat pasukan tersebut berjaya melepasi saingan suku akhir selepas mengharungi persaingan kompetitif sejak peringkat awal kejohanan.
Sementara itu, kategori senior menyaksikan Pemuda Gedong bertemu Gedong Unity, manakala Alaska King akan membuat perhitungan dengan Zass FC.
Kesemua pasukan kini hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk melangkah ke pentas akhir yang dijadualkan berlangsung pada 27 September.
Kejohanan anjuran Pusat Khidmat Parlimen P200 Batang Sadong itu sebelum ini menghimpunkan 16 pasukan bagi kategori veteran dan 16 pasukan bagi kategori senior.
Saingan separuh akhir pada 26 September dijangka menjadi penentu kepada empat pasukan yang bakal mengisi slot perlawanan akhir bagi kedua-dua kategori.
Perlawanan akhir pada 27 September pula bakal disaksikan Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris. -EDISI UKAS