SUPP Piasau Dekati Masyarakat Melalui Khidmat Bergerak
MIRI: Pasukan Khidmat Bergerak Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Piasau terus memperkukuh hubungan dengan masyarakat akar umbi menerusi pendekatan turun padang di Jalan Persiaran Kabor, di sini, pada Ahad.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, inisiatif tersebut bertujuan membawa perkhidmatan dan maklumat berkaitan kerajaan lebih dekat kepada komuniti.
Menurut beliau, khidmat bergerak berperanan membantu orang ramai mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta bantuan yang berkaitan dalam suasana lebih mudah diakses.
“Masih terdapat segelintir masyarakat, khususnya golongan warga emas dan keluarga yang memerlukan bantuan, yang kurang memahami sepenuhnya pelbagai skim kebajikan serta prosedur permohonan yang disediakan oleh kerajaan.
“Oleh itu, pendekatan turun padang ke kawasan komuniti dapat membantu menyampaikan maklumat yang tepat kepada orang ramai secara langsung,” katanya ketika menyertai aktiviti khidmat bergerak tersebut.
Datuk Sebastian yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, inisiatif berkenaan dapat membantu golongan yang memerlukan mengetahui kelayakan, dokumen serta prosedur permohonan skim kebajikan dan bantuan kerajaan.
“Kami berharap melalui khidmat bergerak ini, golongan yang memerlukan dapat mengetahui dengan lebih mudah sama ada mereka layak memohon skim kebajikan dan bantuan yang berkaitan, selain mengetahui dokumen yang perlu disediakan serta prosedur permohonan yang perlu dilakukan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata SUPP Cawangan Piasau akan terus menganjurkan aktiviti khidmat bergerak bagi memperkukuh hubungan dengan masyarakat serta membantu golongan yang memerlukan mendapatkan maklumat dan perkhidmatan kerajaan berkaitan.
Beliau turut menggalakkan warga emas dan orang ramai yang memenuhi syarat kelayakan supaya mendapatkan maklumat mengenai skim bantuan dan kebajikan yang disediakan kerajaan.
Selain aktiviti khidmat bergerak, beliau turut mengadakan lawatan ke kaunter pemeriksaan percuma paras gula dalam darah dan tekanan darah anjuran Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Miri.
Beliau berkata pemeriksaan kesihatan secara berkala penting bagi membolehkan orang ramai mengetahui keadaan kesihatan diri lebih awal, selain mendapatkan nasihat perubatan profesional sekiranya diperlukan.
Jelasnya, penyakit kronik seperti diabetes dan tekanan darah tinggi sering tidak menunjukkan gejala yang jelas pada peringkat awal.
Sehubungan itu, beliau memuji usaha Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Miri dalam menggalakkan pendidikan kesihatan komuniti dan langkah pencegahan, selain menghargai khidmat petugas serta sukarelawan yang terlibat.-EDISI UKAS