Sumber Perairan Hulu Sungai Skrang Berpotensi Pacu Ekonomi Penduduk Gedong
GEDONG: Sumber perairan di Hulu Sungai Skrang berpotensi terus menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi penduduk Gedong menerusi hasil perikanan seperti udang galah dan pelbagai spesies ikan air tawar.
Wakil Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, hasil sungai kini menjadi antara sumber pendapatan utama penduduk setempat berbanding aktiviti pembalakan dan pengeluaran belian yang pernah menjadi sumber ekonomi suatu ketika dahulu.
Menurut beliau, permintaan tinggi terhadap udang galah di pasaran turut merancakkan aktiviti penangkapan di kawasan berkenaan.
Katanya, benih udang yang dilepaskan ke sungai berupaya mencapai nilai pasaran sehingga RM70 sekilogram selepas tempoh enam bulan, sekali gus menunjukkan potensi sumber perairan sebagai sumber pendapatan kepada komuniti setempat.
“Ini membuktikan bahawa sumber perairan mampu memberi rezeki yang lumayan kepada penduduk jika dijaga dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Program Eksplorasi Belia ke Hulu Sungai Skrang, Gedong anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak (MYSED), di sini pada Ahad.
Program berkenaan menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran mengenai potensi sumber sungai, keselamatan perairan serta kepentingan pemeliharaan ekosistem dalam memastikan sumber pendapatan komuniti nelayan dapat dikekalkan.
Sementara itu, ahli Persatuan Komuniti Kawasan Batang Skrang Gedong, Mohd Nizam Penni berkata, perjalanan ke kawasan hulu sungai mengambil masa kira-kira 40 minit ketika fenomena air pasang, manakala hasil tangkapan udang pernah mencecah sehingga 160 kilogram.
Menurutnya, ketika musim air surut pula, kawasan berkenaan menjadi tumpuan bagi aktiviti menangkap pelbagai spesies ikan termasuk tilapia, ikan sultan dan tapah.
Seorang lagi ahli persatuan, Abang Redzuan Juli berkata, inisiatif pelepasan anak ikan sebelum ini turut memberi manfaat ekonomi kepada komuniti apabila hasilnya pernah menjana pendapatan sehingga RM10,000 ketika musim banjir besar.
Katanya, usaha melepaskan anak ikan dan benih udang perlu diteruskan kerana inisiatif tersebut berpotensi membantu mengekalkan sumber perikanan serta menyokong pendapatan masyarakat nelayan di Gedong.
Dalam pada itu, peserta belia program berkenaan turut menekankan kepentingan menghentikan kaedah penangkapan ikan yang boleh merosakkan ekosistem sungai.
Menurut mereka, penggunaan kejutan elektrik untuk menangkap ikan bukan sahaja menjejaskan pembiakan hidupan air, malah boleh memberi kesan kepada sumber pendapatan nelayan lain.
Program tersebut turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan menjaga ekosistem perairan sebagai aset ekonomi komuniti yang perlu diurus secara berterusan.
Turut hadir Penolong Pegawai Daerah Gedong, Mohammad Fiirdaus Habari, Penolong Pegawai Perikanan Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan, Lennie Nimrod, wakil MYSED, Noraini Suhaili dan wakil Majlis Daerah Gedong, Nor Rahbiah Maharib. -EDISI UKAS