Sarawak Sasar 500,000 Tenaga Kerja Mahir Menjelang 2030
BINTULU: Sarawak menyasarkan pembangunan 500,000 tenaga kerja mahir menjelang 2030 menerusi pengukuhan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang selari dengan keperluan industri.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, sasaran itu merupakan antara aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang memerlukan latihan relevan, pensijilan diiktiraf serta kemahiran yang sepadan dengan permintaan industri.
Menurut beliau, peluang pekerjaan sebenar juga perlu diwujudkan bagi memastikan latihan kemahiran yang disediakan memberi manfaat kepada peserta.
“Untuk mencapai sasaran ini, kita perlu memastikan latihan adalah relevan, pensijilan diiktiraf, kemahiran dipadankan dengan permintaan industri dan peserta diberikan peluang sebenar untuk memasuki alam pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran TalentPath Sarawak 2026: Bintulu Series di sebuah hotel di sini, pada Ahad.
Dato Sri Roland berkata, TalentPath Sarawak 2026 merupakan inisiatif kementeriannya bagi membangunkan tenaga kerja yang fleksibel, berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan industri.
Katanya, program berkenaan menyediakan latihan bersubsidi dan pensijilan berkaitan industri bagi meningkatkan kebolehpasaran peserta serta menyediakan mereka menghadapi keperluan tempat kerja moden.
Dalam pada itu, Dato Sri Roland berkata Bintulu mempunyai kedudukan strategik dalam pelaksanaan TalentPath Sarawak berikutan asas perindustriannya yang kukuh merangkumi sektor tenaga, petrokimia, pembuatan, pembinaan dan industri berat.
Menurut beliau, sektor berkenaan memerlukan kemahiran teknikal secara langsung bagi kerja pembinaan fasiliti, pemasangan peralatan, penyelenggaraan rutin dan aktiviti turnaround.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap MEITD, Caroline Cleophas Joseph, Pengarah TVETMARA Bintulu, Dr. Mohd Syukri Abdullah serta tetamu lain.-EDISI UKAS