Kecemerlangan Akademik Tuntut Kerjasama Sekolah, Ibu Bapa & Komuniti
KUCHING: Kecemerlangan akademik pelajar memerlukan sokongan menyeluruh daripada sekolah, ibu bapa, komuniti dan pemimpin setempat bagi mewujudkan ekosistem pendidikan yang kondusif untuk perkembangan generasi muda.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara & Jalan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan memberikan galakan, sokongan emosi serta mewujudkan suasana pembelajaran yang positif di rumah.
Menurut beliau, kejayaan bukan diperoleh secara mudah, sebaliknya lahir daripada usaha yang konsisten, disiplin, keyakinan diri dan kesungguhan setiap pelajar.
“Jangan takut untuk bertanya kepada guru, jangan malu untuk mencuba dan jangan mudah berputus asa apabila menghadapi kesukaran. Kegagalan bukan noktah, tetapi peluang untuk belajar, memperbaiki diri dan bangkit semula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Final Boost Dual Language Programme (DLP) Zon Mambong Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Yayasan Sarawak International Secondary School (YSISS) Kuching pada Ahad.
Program anjuran Persatuan Guru-Guru Besar Zon Mambong dengan kerjasama YSISS itu menghimpunkan 180 murid Tahun Enam daripada 18 sekolah rendah di Zon Mambong bersama 180 ibu bapa, dengan keseluruhan kehadiran sekitar 400 peserta.
Datuk Dr Jerip turut menggesa pelajar memanfaatkan sepenuhnya program berkenaan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan DLP yang dijadualkan pada 14 dan 15 Oktober 2026.
Sementara itu, Pengetua YSISS Kuching, Jimali Anak Sunang berkata, kerjasama erat antara YSISS, sekolah-sekolah pengumpan, guru dan ibu bapa penting dalam memastikan kesinambungan kecemerlangan pendidikan murid.
Beliau memaklumkan YSISS turut mencatat 100 peratus kelulusan dalam peperiksaan Checkpoint serta pencapaian cemerlang dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, sekali gus membuktikan keberkesanan sokongan dan bimbingan berterusan terhadap pelajar.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan Unit Sains dan Matematik, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Helmi Saini, Pegawai Pendidikan Daerah Padawan, Sharifah Idawati Wan Ahmad, Pengerusi Persatuan Guru-Guru Besar Zon Mambong, Josep Henry Anak Nassem, wakil Yayasan Sarawak International Education Sdn Bhd, Syed Saifullah Wan Ahmad, serta guru besar, guru, ibu bapa dan ketua-ketua kampung Zon Mambong.-EDISI UKAS