500 Guru, Anggota Kumpulan Pelaksana Di Daro Diraikan
SIBU: Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi telah menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Penghargaan Pendidikan dan Majlis Sanjungan Budi, Kilauan Bakti Pejabat Pendidikan Daerah Daro Tahun 2026 yang menghimpunkan sekitar 500 guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di RH Hotel Sibu pada Ahad.
Dalam ucapannya, Ahmad Johnie menegaskan bahawa pendidikan akan terus menjadi antara keutamaan yang diperjuangkan di Parlimen, khususnya dalam memastikan anak-anak di luar bandar mendapat akses kepada pendidikan yang berkualiti dan setara.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada 91 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) serta setinggi-tinggi penghargaan kepada 35 pesara atas segala jasa, khidmat dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang perkhidmatan.
Dalam ucapannya juga, beliau turut menyeru seluruh warga pendidikan agar terus melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan integriti serta menjadikan pengiktirafan ini sebagai suntikan semangat untuk terus meningkatkan kecemerlangan dan mutu perkhidmatan pendidikan. - EDISI UKAS