108 Peserta Sertai Kursus Kesempurnaan Solat Saudara Kita Di Dalat
DALAT: Seramai 108 peserta menyertai Kursus Kesempurnaan Solat Bagi Saudara Kita Siri 1 hingga 5 Daerah Dalat Tahun 2026/1448H sekali gus mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap usaha memperkukuh kefahaman dan penghayatan ibadah dalam kalangan masyarakat setempat.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, jumlah penyertaan itu amat membanggakan berbanding sasaran awal seramai 140 peserta.
Menurut beliau, kursus berkenaan bukan sahaja memberi ruang kepada peserta memperkukuh kefahaman asas berkaitan solat, malah menjadi wadah mempererat ukhuwah dan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Solat bukan sekadar kewajipan yang ditunaikan lima kali sehari, sebaliknya ia merupakan tiang agama dan asas pembentukan kehidupan seorang Muslim.
"Peserta turut berpeluang mempelajari semula perkara asas dalam solat, memperbetulkan bacaan dan pergerakan serta meningkatkan kefahaman supaya ibadah dapat dilaksanakan dengan lebih baik dalam kehidupan seharian,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penangguhan kursus tersebut, pada Ahad.
Sehubungan itu, Dato Sri Fatimah menyeru para peserta agar ilmu yang diperoleh sepanjang kursus tidak terhenti di dalam kelas, sebaliknya diamalkan dan dikongsikan bersama keluarga serta masyarakat.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan penyampaian peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) ADUN N56 Dalat Tahun 2026 Fasa 3 berjumlah RM293,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta persatuan.
Selain itu, sebanyak RM70,040 turut disalurkan kepada sektor pendidikan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi menyokong keperluan pendidikan di kawasan berkenaan. -EDISI UKAS