Miri FA Atasi Sarikei FA Dalam Saingan Liga Premier Sarawak 2026
MIRI: Skuad Miri FA meneruskan kemaraan dalam kancah Liga Premier Sarawak 2026 dengan menewaskan Sarikei FA 2-1 dalam aksi minggu keenam di Stadium Terbuka Bandaraya Miri, pada Sabtu.
Kemenangan itu diraih menerusi jaringan Che Abdul Alim Che Abdul Aziz pada minit ke-88 dan Harith Danielle Abdullah pada minit ke-90+1, selepas Sarikei FA terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Nabil Ajmal Shamsul Anuar pada minit ke-85.
Perlawanan anjuran Persatuan Bolasepak Bahagian Miri (2009) itu merupakan sebahagian saingan Liga Premier Sarawak 2026 yang menghimpunkan 14 pasukan bagi musim ini.
Ketua Jurulatih Miri FA, Benedict Martine berkata, beliau berpuas hati dengan persembahan pemain yang berjaya bermain mengikut perancangan taktikal pasukan, selain menyifatkan Sarikei FA telah memberikan cabaran hebat sepanjang perlawanan.
“Miri FA optimis dengan peluang untuk mara ke pusingan suku akhir, namun fokus utama ketika ini adalah mendapatkan mata semaksimum mungkin daripada baki dua perlawanan sebelum memberi tumpuan kepada persiapan menentang Sibu FA,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, beberapa kelemahan dan kekurangan turut dikenal pasti dan akan diperbaiki bagi menghadapi perlawanan seterusnya.
Hadir menyaksikan perlawanan ialah Pegawai Daerah Miri, Siti Rohanie Yusof, Pengarah Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, Mazlan Anis, Penguasa Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Nurudin Sabali, Penguasa Jabatan Belia dan Sukan, Roley Lagir serta Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Miri, Mohd Saif Jubaidi.-EDISI UKAS