Belawai Berpotensi Jadi Destinasi Memancing Sarawak
TANJUNG MANIS: Penganjuran GP Belawai yang berterusan sejak hampir sedekad berpotensi mengangkat Belawai sebagai antara destinasi memancing rekreasi yang semakin dikenali di Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, kesinambungan program itu membuktikan aktiviti memancing mampu menjadi tarikan kepada peserta dari pelbagai kawasan, sekali gus memperkenalkan Belawai kepada masyarakat luar.
Menurutnya, kerjasama Jabatan Perikanan Laut Sarawak dan Iftitah Restaurant & Resort dalam penganjuran GP Belawai Siri 2/2026 turut memperkukuh potensi program berkenaan sebagai aktiviti yang memberi manfaat lebih luas kepada masyarakat.
“Kerjasama ini bukan sahaja menyemarakkan penganjuran pertandingan, malah memberi manfaat dari aspek ekonomi dan sosial serta menyokong usaha pemeliharaan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan GP Belawai Siri 2, di Iftitah Restaurant & Resort, di sini, pada Ahad.
Tambahnya, penglibatan jabatan berkenaan turut membolehkan aspek kawal selia, pemantauan serta pengurusan sumber perikanan diberi perhatian supaya aktiviti memancing rekreasi dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab.
Pada masa sama, kehadiran peserta dan pengunjung dari luar kawasan berpotensi memberi limpahan kepada komuniti serta perniagaan setempat, selain membuka ruang untuk mengetengahkan tarikan rekreasi di Belawai.
Justeru, Datuk Len berharap kerjasama kerajaan dan pihak swasta itu dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh GP Belawai sebagai acara rekreasi yang menyumbang kepada pembangunan komuniti, ekonomi setempat dan kelestarian sumber perikanan.
Dalam pada itu, Pertandingan GP Belawai Siri 2 telah menarik penyertaan 324 pemancing dari pelbagai lokasi termasuk empat peserta dari Brunei Darussalam.
Kehadiran mereka turut memeriahkan pertandingan anjuran Jabatan Perikanan Laut Sarawak dengan kerjasama Iftitah Restaurant & Resort yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan hampir RM20,000.
Tuah berpihak kepada Mohammad Shahadam Sahminan dari Daro, Mukah apabila tangkapan ikan gerut seberat 1.6 kilogram dinobatkan sebagai tangkapan juara pertandingan tersebut.
Kejayaan berkenaan melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000, manakala Mohamad Isa Alias dan Ahmad Udar masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga menerusi tangkapan ikan pari seberat 358 gram dan 328 gram.
Acara pelepasan peserta disempurnakan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abdul Wahab.
GP Belawai Siri 3 dijadualkan berlangsung pada Disember depan dengan penganjur berharap siri berkenaan dapat menarik lebih ramai peserta menerusi tawaran hadiah yang menarik serta pengisian program yang lebih meriah. -EDISI UKAS