LAWAS: Kejohanan Gasing Tradisi SeBorneo Piala Dato Henry Sum Agong, Ahli Parlimen P.222 Lawas terus menyemarakkan warisan permainan tradisi dengan penyertaan 32 pasukan dari Lawas, Sabah dan Brunei Darussalam.
Pemanca, Matasan Pilus berkata, penganjuran kejohanan itu wajar diteruskan sebagai platform mengembangkan permainan gasing tradisi di samping memperkukuh hubungan silaturahim antara penggiat dari Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam.
“Diharapkan permainan gasing tradisi terus berkembang serta mendapat sokongan dan penyertaan daripada masyarakat,” katanya ketika merasmikan kejohanan berkenaan di Gelanggang Gasing Generasi Batu Dua (GBD), baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Kampung Batu Dua, Haidan Dollah berkata, permainan gasing perlu terus dihidupkan sebagai warisan masyarakat terdahulu yang wajar diperkenalkan dan diwariskan kepada generasi muda.
“Gasing mesti terus hidup, bukan sahaja sebagai permainan tradisional, tetapi sebagai warisan yang perlu diteruskan oleh generasi akan datang,” katanya.
Kejohanan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Batu Dua itu berlangsung selama dua hari dan merupakan edisi ketiga Piala Ahli Parlimen P.222 Lawas.
Pasukan Jaopalis muncul juara, diikuti Ambulan UM sebagai naib juara, manakala tempat ketiga bersama disandang Pasukan Sinaran Blst dan Jaopalisz Z. Pasukan juara menerima piala iringan, medal dan wang tunai RM1,000, naib juara RM700 serta medal, manakala dua pasukan tempat ketiga bersama masing-masing menerima RM350 dan medal.
Penganjuran berkenaan mencerminkan kesinambungan usaha masyarakat setempat memelihara permainan gasing tradisi, selain menjadi wadah mengeratkan hubungan komuniti merentas Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam.-EDISI UKAS