2,500 Anak Ikan Tengadak Dilepas, Belia Gedong Terajui Pemeliharaan Sungai
GEDONG: Sebanyak 2,500 anak ikan tengadak dilepaskan ke Hulu Sungai Skrang menerusi Program Eksplorasi Belia sebagai usaha memelihara ekosistem sungai dan menjamin kelangsungan sumber rezeki nelayan darat di daerah ini.
Program anjuran Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Keusahawanan Sarawak (MYSED) menerusi Kelab Belia Gedong itu disertai kira-kira 150 belia tempatan dengan penglibatan 43 buah bot.
Pelepasan anak ikan berkenaan diharap dapat membantu meningkatkan populasi ikan di kawasan Sungai Engkuan dan Ulu Merbau, sekali gus menyokong sumber pendapatan komuniti nelayan darat setempat.
Wakil Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong, Dato Sri Mohd Naroden Majais berkata, program berkenaan turut bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan sungai serta tanggungjawab bersama dalam menjaga kebersihan dan keselamatannya.
“Usaha pemeliharaan ini amat penting bagi menjamin pendapatan dan kelangsungan hidup para nelayan darat secara berterusan,” katanya pada Ahad.
Dalam program itu, beliau turut menyempurnakan simbolik pemasangan papan tanda ‘Dilarang Membuang Sampah’ sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga kebersihan sungai.
Pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk pertandingan menjala di darat, dengan Dato Sri Mohd Naroden menyampaikan piala dan hadiah wang tunai kepada pemenang.
Program berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Gedong, Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan, Pusat Khidmat N.26 Gedong, Persatuan Komuniti Kawasan Batang Kerang Gedong, Kelab Boules Gedong, Majlis Daerah Gedong, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Daerah Simunjan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Gedong.
Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Gedong, Mohammad Fiirdaus Habari, wakil MYSED, Noraini Suhaili, Penolong Pegawai Perikanan Jabatan Pertanian Bahagian Samarahan, Lennie Nimrod, wakil Majlis Daerah Gedong, Nor Rahbiah Maharib, Penghulu Melayu Zon Gedong Proper, Penghulu Adian Salleh, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Daerah Simunjan, ASP Mohamad Hairul Nizam, wakil Belia Kreatif Gedong, Ahmad Farid Sudin, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Cawangan Gedong, Maharthir Oyak, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Gedong, Hasanah Majais. -EDISI UKAS