Kekuatan Operasi BPHB Pacu Pulangan Kukuh, Sumbang Dividen RM802 Juta
BINTULU: Kekuatan operasi Bintulu Port Holdings Berhad (BPHB) terus diterjemahkan kepada pulangan kewangan kukuh menerusi sumbangan dividen berjumlah RM802 juta kepada State Financial Secretary Sarawak dan Equisar Assets Sdn. Bhd.
Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi BPHB, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, pencapaian itu mencerminkan keupayaan operasi syarikat dalam menyokong aktiviti perdagangan dan pertumbuhan ekonomi Sarawak.
Menurutnya, Biport Bulkers terus mengendalikan kapasiti sebanyak empat juta tan setahun merangkumi kira-kira 25 peratus daripada jumlah eksport Sarawak.
“Dari segi operasi, kami telah melancarkan Regional Halal Hub pada Julai lalu dengan kerjasama Majlis Pembangunan Industri Halal Sarawak, sekali gus membuka ruang baharu untuk kepelbagaian perdagangan.
“Kekuatan operasi ini diterjemahkan kepada pulangan kewangan yang kukuh, khususnya sumbangan dividen sebanyak RM802.3 juta kepada State Financial Secretary Sarawak dan Equisar Assets Sdn. Bhd.,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Majlis Penghargaan BPHB di sini pada malam Isnin.
Datuk Amar Mohamad Abu Bakar menambah, BPHB pada masa sama menyasarkan peluasan kapasiti pengendalian kargo serta memperkukuh inisiatif pelabuhan mampan dalam usaha mengembangkan lagi operasinya.
Menurutnya, sokongan semua pihak termasuk kakitangan, pihak pengurusan, rakan perniagaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi merealisasikan peluang baharu serta memastikan visi menjadikan Bintulu Port sebagai pelabuhan utama menjelang 2030 dapat dicapai.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya memberikan sokongan kepada Ketua Pegawai Eksekutif baharu BPHB serta bersama-sama memperkukuh peranan Bintulu Port dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Sarawak.-EDISI UKAS