UNIMAS Tuan Rumah SAKAT 2026, Himpun Pakar Sastera Asia Tenggara
KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi tuan rumah Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Asia Tenggara (SAKAT) 2026 yang menghimpunkan pakar, ahli akademik dan penggiat sastera dari Malaysia, Brunei Darussalam, Indonesia serta Singapura.
Seminar anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera) itu berlangsung selama dua hari bermula 21 hingga 22 September di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS), UNIMAS, dengan penyertaan lebih 200 hadirin.
Bertemakan ‘Mengimbangi Kecerdasan Buatan dengan Kecerdasan Semula Jadi dalam Sastera’, SAKAT 2026 turut membincangkan perkembangan kecerdasan buatan (AI) serta kaitannya dengan penghasilan karya sastera.
Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato' Dr. Jeniri Amir menegaskan bahawa kecerdasan buatan mampu meniru gaya penyair dan menghasilkan metafora yang memukau.
Namun, katanya, teknologi canggih tersebut tetap tidak memiliki pengalaman, sejarah, perasaan dan renungan jiwa sebagaimana seorang pengarang.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama bertajuk ‘Landskap Kesusasteraan Asia Tenggara: Realiti Empirikal dan Suara Serantau’ semasa majlis perasmian SAKAT 2026 pada Isnin.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP merangkap Pengerusi Mastera Malaysia, Datuk Dr. Hazami Jahari menyifatkan seminar itu bukan sekadar wadah ilmu, malah medan untuk sastera menyuburkan nilai kemanusiaan yang kian terhakis.
Beliau melahirkan rasa bangga dengan penganjuran seminar kesusasteraan bertaraf antarabangsa yang berjaya dilangsungkan kali ke-30 julung-julung kalinya di Bumi
Kenyalang.
Turut hadir ialah Naib Canselor UNIMAS, Profesir Dr. Ahmad Hata Rasit.-EDISI UKAS